Jagung Percik Warisan, keenakan aroma jagung bakar berkuah istimewa
MENIKMATI jagung yang dibakar bersama marjerin pun sudah membangkitkan selera. Cuba bayangkan, makanan yang sama tapi dimakan bersama curahan kuah istimewa.
Gerenti setongkol tidak cukup.
Itu yang penulis rasa selepas berpeluang merasai keenakan Jagung Percik Warisan yang diusahakan pasangan suami isteri, Muhammad Shafiq Nadazol dan Nur Amirah Ahmad Nurbi, masing-masing berusia 29 tahun.
Beroperasi di Jalan Semabok Dalam, Kampung Duyung, Melaka, sejak tahun 2021, perniagaan kecil-kecilan mereka berjaya menarik perhatian pelanggan. Apatah lagi, ia hanya dijual pada harga mampu milik sekitar RM5 hingga RM8.
“Kami mulakan bisnes jagung bakar ini sewaktu era PKP. Arwah ayah saya pernah berniaga jagung bakar dahulu. Jadi saya mahu meneruskan legasi perniagaan arwah ayah yang meninggal dunia pada 2016 sebagai usaha mencari rezeki buat keluarga,” ujar Shafiq kepada Malaysia Tribune.
Menurut bapa kepada dua orang cahaya mata itu, pada mulanya mereka hanya menjual jagung bakar. Kemudian seiring peredaran masa yang dipenuhi menu-menu yang diolah dan diubahsuai, mereka juga turut mencubanya.
“Kami mendapat idea untuk menyediakan kuah sos istimewa yang dimasak sendiri untuk dinikmati bersama jagung bakar sebagai tarikan buat pelanggan.
“Alhamdulillah, ternyata menu fusion ini berjaya memikat selera mereka yang merasainya hingga menjadi pelanggan tetap kami. Antara yang menjadi kegemaran ialah spicy corn ribs iaitu jagung percik dengan pilihan sos pedas dan lemak manis yang menggiurkan,” jelas Shafiq lagi.
Menggunakan jagung segar yang diambil terus dari kilang, ia menjamin kualiti yang segar dan terbaik untuk dinikmati pelanggan.
“Sejak dari awal berniaga, kami sangat pentingkan kualiti bagi memastikan pelanggan tidak lari. Ini antara nasihat arwah ayah yang saya tidak pernah lupakan.
“Moga dengan ilmu yang diperturunkan pada kami, menjadi asbab untuk arwah beroleh pahala di alam abadi,” tutur pemuda itu dalam nada sedikit sebak.
Walaupun perniagaan ini semakin mendapat tempat di hati penduduk sekitar, namun cabaran yang dihadapi mereka tetap ada.
“Sebenarnya ramai juga pelanggan yang pernah membuat ulasan mengenai Jagung Percik Warisan di media sosial mereka seperti Instagram dan TikTok.
“Malah, mereka yang menyuruh kami buat akaun sendiri untuk promosikan menu ini. Tapi, itulah kami kurang arif kendalikan media sosial untuk buat marketing.
“Insya-Allah, kami akan terus belajar sedikit demi sedikit,” kata Nur Amirah pula.
Semoga semangat pasangan muda untuk terus belajar dan berusaha tidak pernah pudar.
Dalam dunia perniagaan yang semakin moden, Jagung Percik Warisan membawa sentuhan tradisional yang menggamit memori.
Bagi Shafiq, setiap jagung bakar yang dijual bukan sekadar makanan, tetapi simbol kasih sayang dan kenangan bersama arwah ayahnya.
Jika anda berada di Melaka, jangan lepaskan peluang untuk mencuba keunikan Jagung Percik Warisan ini.
Sokonglah perniagaan kecil yang mereka usahakan kerana setiap pembelian anda membantu meneruskan warisan keluarga yang berharga.
Untuk melihat bisnes atau promosi yang dijalankan mereka, boleh layari akaun @jagungpercikwarisan.mlk di Instagram dan TikTok. Mereka juga menerima tempahan untuk sebarang majlis. Maklumat lanjut hubungi talian 011-3971 4748.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune