Berita SemasaDalam Negeri

Virus hMPV bukan penyakit baharu, penularan kekal terkawal – KKM

KUALA LUMPUR – Virus ‘human metapneumovirus’ (hMPV) yang kini mencatatkan lonjakan kes di China bukanlah penyakit baharu, tegas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, di Malaysia, jangkitan hMPV tidak wajib dilaporkan atau dinotifikasikan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

Katanya, sebanyak 327 sampel positif hMPV dikesan sepanjang 2024, meningkat berbanding 225 sampel pada 2023.

“Virus ini adalah salah satu jangkitan saluran pernafasan disebabkan virus dari keluarga Pneumoviridae,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulkefly berkata, peningkatan jangkitan saluran pernafasan akut pada penghujung dan awal tahun merupakan fenomena biasa, selaras dengan peningkatan kes di negara bermusim sejuk seperti China.

Tambah beliau, situasi Covid-19 di Malaysia masih terkawal dengan tiada peningkatan kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kematian berkaitan pandemik dilaporkan sejak April 2024.

“Kes positif yang dilaporkan menurun 50.4 peratus kepada 100,666 kes pada 2024 berbanding 202,962 kes pada 2023.

“Kematian pula merekodkan penurunan mendadak kepada 57 kes pada 2024 berbanding 441 kes pada 2023,” katanya.

Katanya, sehingga kini, varian SARS-CoV-2 yang sedang menular di Malaysia masih merupakan varian Omicron dan subvariannya.

“Tiada kes baharu varian Omicron dilaporkan sejak 24 November 2024 hingga penghujung tahun,” katanya.

Bagi jangkitan influenza, KKM memaklumkan virus influenza A menunjukkan penurunan kepada 61 peratus pada 2024 berbanding 66 peratus pada 2023.

Bagaimanapun, influenza B mencatatkan peningkatan kepada 39 peratus pada 2024 berbanding 34 peratus pada tahun sebelumnya.

KKM juga akan terus memantau perkembangan jangkitan saluran pernafasan di dalam dan luar negara, meningkatkan kesiapsiagaan, serta mengambil tindakan sewajarnya untuk melindungi rakyat.

“Situasi ini memerlukan pemantauan berterusan dan kerjasama semua pihak untuk memastikan tiada peningkatan mendadak dalam kes jangkitan.

“Rakyat juga disarankan untuk mengamalkan kebersihan diri dan mendapatkan vaksinasi bagi mengurangkan risiko,” tambahnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button