Berita Semasa

Tiada kematian akibat Covid-19 sejak April 2024 – KKM

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan situasi Covid-19 di Malaysia adalah terkawal tanpa peningkatan kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kematian direkodkan akibat penyakit itu sejak April 2024.

Menurut KKM, tiada kes varian baharu dikesan dan varian SARS-CoV-2 yang sedang menular di Malaysia merupakan varian Omicron serta subvariannya.

“Kes positif yang dilaporkan telah menurun 50.4 peratus kepada 100,666 kes tahun lalu berbanding 202,962 pada 2023.

“Pengisian katil bukan kritikal juga menurun daripada 0.68 peratus kepada 0.21 peratus, manakala pengisian katil ICU menurun daripada 1.21 peratus kepada 0.39 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah KKM, jumlah korban Covid-19 turut menurun dengan hanya 57 kematian tahun lalu berbanding 441 pada tahun sebelumnya.

“Situasi COVID-19 masih terkawal, tiada peningkatan mendadak kes yang memerlukan rawatan di ICU dan tiada kematian dilaporkan sejak 25 April 2024,” katanya.

Mengulas mengenai influenza A, KKM berkata, kadar jangkitan menurun 61 peratus tahun lalu berbanding 66 peratus kes pada 2023, manakala influenza B meningkat 39 peratus berbanding 34 peratus pada tahun sebelumnya.

“Walaupun jangkitan influenza tidak wajib dilapor atau dinotifikasikan bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), KKM sentiasa memantau kes influenza di seluruh negara.

“Peningkatan jangkitan saluran pernafasan akut pada hujung dan awal tahun adalah fenomena yang dijangka sepenuhnya, selaras peningkatan jangkitan saluran pernafasan yang turut dilaporkan di negara lain terutama yang bermusim sejuk seperti China,” kata KKM lagi.

Sementara itu, orang ramai dinasihatkan agar proaktif menjaga kesihatan diri serta mencegah jangkitannya kepada orang lain, terutama ketika berada di kawasan tertutup dan sesak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button