Pas teruskan himpunan solidariti Najib Isnin ini
KUALA LUMPUR – Pas mengambil keputusan untuk tetap meneruskan penyertaannya dalam Himpunan Solidariti Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya, Isnin ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata, kehadiran ke himpunan itu tidak menyanggah mahupun mengurangi makna dan tujuan titah Yang di-pertuan Agong, atau mana-mana peruntukan Perlembagaan.
“Pas mengambil maklum dan menjunjung tinggi titah Istana Negara berhubung kuasa prerogatif Yang Dipertuan Agong berdasarkan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
“Pas juga akur dan turut mendukung segala proses serta tatacara yang diperuntukkan di bawah undang-undang berhubung perkara tersebut melalui Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa cadangan supaya mana-mana banduan diberikan keampunan atau pengurangan hukuman, hendaklah dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.
Takiyuddin menambah, seperti yang dibayangkan oleh tema himpunan itu sendiri, yang merupakan diran secara aman rakyat jelata rentas kaum dan fahaman ke suatu tempat awam iaitu mahkamah terbuka.
Jelas beliau, himpunan itu adalahh sebagai tanda solidariti terhadap Najib dalam usaha beliau mendapatkan keadilan di bawah undang-undang atas kepercayaan bahawa kuasa prerogatif yang sama telah memberikan kelonggaran tertentu ke atas hukuman yang dijalaninya, iaitu melalui dokumen yang dikenali sebagai “Titah Addendum”.
“Malangnya, timbul keraguan yang munasabah bahawa Titah Addendum ini, yang terhasil dari kuasa prerogatif Institusi Yang di-pertuan Agong, kelihatan dikhianati dan disembunyikan oleh pihak-pihak tertentu yang berkuasa sehingga menafikan hak dan kelonggaran yang diberikan, lalu memaksa Najib memohon kepada mahkamah melalui semakan kehakiman bagi suatu perintah agar kerajaan mengesahkan kewujudannya dan seterusnya mengambil tindakan lanjut selaras dengannya.
“Justeru, himpunan solidariti ini tidak lain melainkan bertujuan mempertahankan kuasa dan prerogatif Institusi Yang di-pertuan Agong daripada manipulasi dan ketidaktelusan, selain menyokong semua usaha sah Najib untuk mendapatkan keadilan di bawah undang- undang mengikut kuasa dan prerogatif yang sama,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Takiyuddin berkata, Pas tidak berhasrat untuk menyemak kembali seruan yang telah dibuat berhubung kehadiran aman ahli-ahlinya pada hari, masa dan tempat yang dinyatakan.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune