Politik

Hentikan politikkan isu pengampunan Najib, UMNO akan perjuang secara perlembagaan

KUALA LUMPUR – UMNO akan memperjuangkan keadilan bagi bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak secara perlembagaan dan tidak tersasar daripada proses undang-undang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO akan sentiasa akur dengan hikmah diraja dan bertindak secara berpelembagaan.

“Nampaknya ada parti politik yang menjadikan proses pengampunan itu modal politik mereka. Bersolidariti secara bermusim itu sangat memualkan.

“Apalagi setelah mengenang segala nista yang pernah mereka lemparkan terhadap mantan Presiden UMNO tersebut.

“Proses pengampunan Najib bukan modal politik untuk mana-mana pihak. Menjadikan ia taruhan untuk populariti adalah sangat tidak bermoral,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan menempelak pihak yang menegaskan himpunan pada 6 Januari ini sebagai sah dan akan meneruskannya.

Beliau berkata, ia membelakangi nasihat pihak berkuasa, adalah pemain ‘politik tanpa moraliti’.

“Jika agama dan kaum pun dijadikan komoditi politik oleh kumpulan tersebut, inikan pula kes Najib.

“Bagi mereka moral, undang-undang, perlembagaan, keamanan negara, perpaduan nasional serta keharmonian beragama, semua itu bukan asbab untuk mereka berpolitik. Semua itu, tersedia untuk dieksploitasi demi ‘optik’ politik, tidak lebih dari itu,” katanya.

Sementara itu menjawab persoalan kenapa UMNO tidak boleh terpisah dengan bekas Presidennya itu katanya, ini kerana UMNO setia dengan bekas Presiden atas jasanya pada bangsa dan negara.

“Apa jua kekurangan dan kelemahan, justeru jika ada kesalahan sekalipun, tidak akan dapat mengatasi lautan darmabaktinya pada tanah air dan bangsa.

“Dan UMNO tidak akan meminggirkan mereka yang bersetia dengannya. Apalagi pada seorang bekas Presidennya maka demikianlah UMNO dalam persahabatannya dengan Najib,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button