DAP bukan gerakan subversif – Howard Lee
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee Chuan How, menolak tuduhan Timbalan Ketua Pemuda PAS, Hafez Sabri, bahawa DAP merupakan ‘gerakan subversif’ sebagai tidak berasas dan bermotif jahat.
Menurutnya, DAP adalah sebahagian daripada kerajaan yang dipilih secara demokratik dan tuduhan tersebut tidak masuk akal.
“Mana mungkin sebuah gerakan subversif memegang tampuk pentadbiran negara? Dakwaan itu sama sekali tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Howard turut menjelaskan, istilah ‘subversif’ merujuk kepada usaha menjatuhkan kerajaan melalui cara rahsia atau kekacauan dan mempersoalkan pemahaman Hafez terhadap istilah tersebut.
“Kalau benar Hafez yakin DAP adalah gerakan subversif, eloklah beliau memahami maknanya terlebih dahulu. Jangan sewenang-wenangnya menggunakan istilah besar tanpa faham maksudnya,” katanya.
Beliau turut mendakwa PAS lebih mendekati definisi subversif dengan retorik melampau yang sering menimbulkan kebencian dan perpecahan dalam masyarakat.
“Modus operandi mereka jelas, meniup sentimen agama demi menggugat kestabilan kerajaan,” ujarnya.
Howard juga mengimbas sejarah PAS yang didakwa pernah bertindak ‘derhaka’ terhadap institusi raja-raja Melayu.
Beliau menegaskan, kedaulatan negara adalah milik rakyat di bawah naungan Raja-Raja Melayu dan bukan hak eksklusif mana-mana pihak.
“Kedaulatan bukan hak sesiapa sahaja. Ia adalah amanah untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Ahli Parlimen itu turut menyeru PAS untuk berhenti menyebarkan tuduhan tanpa asas yang boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.
“Semak kamus dan Perlembagaan Persekutuan sebelum membuat tuduhan melulu. Perpaduan hanya dapat dicapai jika kita menghentikan fitnah dan kebencian,” katanya.
Kenyataan Howard dibuat sebagai respons terhadap dakwaan yang dilihat mampu mengancam kestabilan dan keharmonian negara.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune