AgamaBerita Semasa

Tahun 2025 titik permulaan syahadah tiga saudara baharu

Oleh AMIR SARIFUDIN

GEORGE TOWN – Sambutan tahun baharu 2025 agak berbeza bagi tiga individu apabila mereka meraikannya dengan mengucap dua kalimah syahadah dan mahu menjadikan ia sebagai permulaan untuk mendalami dan mengenali Islam.

Bagi mereka, pada usia yang agak lanjut, sudah tiba masanya untuk mereka mengenali Islam kerana yakin jalan yang dipilih adalah keputusan yang tepat.

Lee Guat Sim, 68, memberitahu, dia melafazkan syahadah setelah mendalami soal kehidupan masa depan yang bakal ditempuhi.

Katanya, dia melihat sendiri ketenangan yang dilalui oleh arwah adik perempuannya selepas memeluk Islam pada tahun 2021.

“Adik perempuan saya sudah lama peluk Islam dan saya lihat kehidupannya begitu tenang.

“Semasa tinggal dengan adik saya, dia begitu menjaga dan menghormati saya,” katanya yang bersyahadah bersama dua lagi saudara baharu di Masjid Jamek Haji Wahab Simpang Enam di sini, baru-baru ini.

Zolkifly Md. Lazim memimpin Lee Guat Sim bersyahadah di Masjid Jamek Haji Wahab Simpang Enam, George Town.

Tiga individu berkenaan bersyahadah dengan pimpinan Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT), Zolkifly Md. Lazim.

Bagi Ong Poh Choo, 80, dia sudah lama tercari-cari mengenai erti kehidupan di dunia ini sebelum terbuka hati untuk menyedari kebenaran Islam.

Menurutnya, sejak beberapa tahun kebelakang ini dia sering bertanya mengenai Islam kepada kawan-kawan yang dikenalinya.

“Akhirnya saya buat keputusan untuk peluk Islam dan mahu jadikan 2025 sebagai tahun mendalami dan mengenali Islam,” katanya.

Sementera itu, Cheah Sing Seang, 63, pula memilih Islam apabila kehidupan abangnya serta isteri yang telah beberapa tahun memeluk Islam.

“Abang saya dan isteri serta dua orang anak mereka berusia 16 dan 20 tahun telah lama masuk Islam.

“Hidup mereka sekeluarga begitu harmoni dan sering menghormati orang lain walaupun bukan dari agama Islam,” katanya.

Cheah Sin Seang (kanan) mengucapkan dua kalimah syahadah yang dipimpin oleh Zolkifly Md. Lazim.
Sebahagian daripada golongan mualaf bersama-sama menunaikan solat Zuhur berjemaah di Masjid Jamek Haji Wahab Simpang Enam, George Town.

Sementara itu, Zolkifly memberitahu, tiga individu berkenaan memeluk Islam di bawah program Komtar Bersyahadah.

Jelasnya, bagi tahun 2025, IKUT merancang mengadakan program solat Zuhur dari masjid ke masjid di seluruh negeri Pulau Pinang.

Beliau berkata, program itu akan mengumpulkan seberapa ramai mualaf agar dapat bersama-sama mendirikan solat secara berjemaah dengan ahli kariah.

“Kita merancang mengadakan program solat Zuhur berjemaah ini pada setiap minggu dan bulan agar golongan mualaf ini dapat berinteraksi dengan kariah setempat.

“Ini sebagai langkah bagi membolehkan golongan mualaf mengenali lebih dekat mengenai Islam,” katanya.

Sejak 15 tahun lalu, IKUT berjaya memimpin lebih 5,000 individu memeluk Islam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button