Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Malaysia tarik pelaburan teknologi gergasi, cipta 159,000 pekerjaan – KSN

PUTRAJAYA – Pelaburan ekonomi digital bernilai RM254.7 bilion bagi tempoh Januari hingga September tahun lalu, yang berjaya mewujudkan 159,000 peluang pekerjaan, merupakan antara pencapaian yang dikecapi Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, Malaysia terus mencatatkan pencapaian ekonomi yang memberangsangkan dengan beberapa syarikat teknologi gergasi antarabangsa telah melabur besar di negara ini.

“Antara syarikat teknologi gergasi antarabangsa yang telah melabur besar di negara ini, termasuk Microsoft sebanyak RM10.5 bilion, NVIDIA dan YTL RM20 bilion, serta Oracle RM27 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri bagi Januari 2025 di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Anwar dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Shamsul Azri menambah, ringgit Malaysia juga merekodkan prestasi terbaik di rantau Asia, sementara Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) merekodkan pendapatan bersih yang melonjak 34 kali ganda, mencapai RM9.7 bilion.

“Kadar inflasi pula kekal terkawal pada 1.9 peratus hingga Ogos 2024 manakala Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengisytiharkan dividen 5.75 peratus yang merupakan angka tertinggi dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Mengulas mengenai agenda reformasi perkhidmatan awam, Shamsul Azri berkata, kenaikan gaji penjawat awam menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), penubuhan Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) serta pelancaran Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), merupakan pencapaian awal dikecapi kerajaan.

“Kejayaan reformasi agenda perkhidmatan yang lain termasuk Deklarasi Kuala Lumpur – Tekad Bersama Perkhidmatan Awam pada 24 November lalu iaitu buat julung kalinya dalam sejarah negara dilaksanakan apabila semua pentadbiran kerajaan negeri menandatangani dan mengisytiharkan komitmen untuk melaksanakan reformasi perkhidmatan awam di seluruh negara.

“Kita juga melaksanakan nyanyian lagu Negaraku dan Ikrar Rukun Negara bermula 20 September 2024 bagi meningkatkan patriotisme dan taat setia penjawat awam, selain pelaksanaan penilaian demerit performance evaluation (DEEP) kepada pegawai pengawal sebagai penilaian lebih adil dan berobjektif, bermula bulan ini,” katanya lagi.

Jelas KSN lagi, kerajaan juga telah melaksanakan reformasi kerenah birokrasi (RKB) dan uji kaji peraturan melalui pekeliling pada 24 November 2024.

“Setakat 17 Disember 2024, sebanyak 47 projek telah siap antara lain melibatkan usaha mempercepat proses kelulusan permohonan yang mengambil tempoh berbulan-bulan, kepada hanya beberapa hari selain meningkatkan penubuhan Unit Integriti di pihak berkuasa tempatan daripada 49 kepada 102, iaitu peningkatan sebanyak 35 peratus,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button