Berita SemasaDalam Negeri

Gangguan teknikal: Penganjur batal tempahan reruai PBAKL 2025

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Khas Penawaran Reruai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (JKPR PBAKL 2025) mengumumkan pembatalan semua tempahan reruai yang dilakukan bermula 26 Disember 2024 susulan gangguan teknikal yang tidak dijangka.

Dalam satu kenyataan, JKPR PBAKL 2025 memaklumkan gangguan tersebut berpunca daripada serangan BOT dan pertindihan tempahan reruai yang menjejaskan sistem.

Mereka turut melahirkan kekesalan di atas kesulitan yang dihadapi oleh syarikat-syarikat pempamer yang terlibat.

“Bagaimanapun, kami akan terus komited untuk memastikan kelancaran persiapan PBAKL 2025.

“Menerusi satu mesyuarat khas yang diadakan hari ini, JKPR PBAKL 2025 bersetuju membatalkan kesemua tempahan dan mengambil beberapa langkah penambahbaikan sebelum tempahan baru dibuka semula,” menurut kenyataan tersebut.

Pertama, sistem tempahan reruai akan ditambah baik dengan memberi penekanan kepada ciri-ciri keselamatan, peluasan jalur lebar ‘bandwidth’ dan server khusus.

Kedua, penyusunan semula reruai dan pembukaan dewan baharu bagi memenuhi permintaan reruai yang tinggi.

Ketiga, syarikat yang telah membuat pembayaran boleh memohon pemulangan wang dalam tempoh 30 hari dari tarikh permohonan diterima atau mereka boleh menggunakan bayaran tersebut untuk tempahan semula reruai.

Menurut kenyataan itu lagi, butiran lanjut mengenai pembukaan semula tempahan reruai akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, pihak JKPR PBAKL 2025 mengakui berdepan cabaran dalam pelaksanaan peralihan digital dan menghargai setiap cadangan serta sokongan daripada pemegang taruh.

“Maklum balas yang diterima adalah asas penting dalam memastikan acara ini terus berkembang dan memenuhi keperluan industri serta masyarakat.

“Ia bertujuan untuk memperkasakan industri perbukuan Malaysia serta memperkukuh daya saing PBAKL di peringkat global,” jelas kenyataan itu lagi.

PBAKL 2025 menjadi platform penting untuk mempromosikan budaya membaca dan industri perbukuan negara.

JKPR PBAKL 2025 berharap kerjasama erat dengan semua pihak akan terus menyumbang kepada kejayaan acara tahunan berskala mega itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button