Bernas bidas cadangan import beras dari Pakistan
KUALA LUMPUR – Padiberas Nasional Berhad (Bernas) membidas cadangan Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengenai cadangan kerajaan mengimport beras putih dari Pakistan.
Bernas dalam satu kenyataan berkata, cadangan itu tidak dibuat bersandarkan fakta kerana Pakistan sejak sekian lama adalah negara pembekal beras kepada Malaysia selain Thailand, Vietnam dan India.
Justeru, beliau menegaskan Malaysia ketika ini tidak mengalami sebarang krisis beras malah memberi jaminan bahawa bekalan beras putih import (BPI) sentiasa mencukupi untuk keperluan negara.
“Bernas menggalakkan agar kenyataan media yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkaitan isu import beras hendaklah disokong dengan fakta dan perbincangan dengan pihak berkaitan termasuk Bernas untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan masyarakat serta impak kepada kestabilan pasaran beras negara,” katanya.
Semalam Syed Abu Hussin memaklumkan cadangan kerajaan mengimport beras putih dari Pakistan merupakan kaedah yang berpotensi bagi menoktahkan kemelut berhubung harga dan bekalan beras putih di pasaran tempatan.
Beliau berkata, cadangan itu telah disuarakan kepada BERNAS selaku pengimport tunggal beras di negara ini.
Bagaimanapun menurut BERNAS, pihaknya sentiasa memastikan harga BPI kekal kompetitif dan sejajar dengan corak harga pasaran dunia.
Tegasnya, sebagai pelaksana perjanjian konsesi dengan kerajaan, pihaknya komited terhadap tanggungjawab sosial yang ditetapkan dengan memastikan padi tempatan sentiasa mendapat pasaran yang baik apabila pesawah tidak dapat memasarkan padi keluaran mereka kepada kilang swasta.
“(Selain itu Bernas) melaksanakan pengurusan stokpail yang mampan dan memastikan ketersediaan bekalan beras di dalam negara yang mencukupi adalah antara 10 obligasi sosial Bernas bernilai RM3.2 bilion sepanjang tempoh konsesi.
“Menyokong kebajikan pesawah melalui perkongsian keuntungan beras import sebanyak 30% dan bantuan ‘one off’ RM60 juta kepada pesawah yang diumumkan baru-baru ini,” katanya.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune