AgamaRencana

73 golongan, hanya satu ke syurga Allah

NABI Muhammad SAW pernah memberi amaran buat umatnya. Dalam satu hadis yang menggerunkan hati-hati yang memahami, Baginda SAW bersabda:

“Dan akan berpecah umatku kepada 73 golongan. Semuanya akan dimasukkan ke dalam neraka melainkan satu kumpulan sahaja.”

Lalu para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, siapakah mereka?” Baginda SAW menjawab: “Apa yang aku berada di atasnya dan juga sahabat-sahabatku.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Tangkap layar hantaran Bonda Nor di laman Facebook beliau yang memberi peringatan tentang perkara ini.

Melalui satu hantaran di Facebook, penulis prolifik yang juga pendakwah, Bonda Nor memberi peringatan mengenai perkara ini.

“Golongan bertuah mana yang akan selamat itu? Siapa ketuanya? Siapa pengikutnya? Adakah kita termasuk dalam kalangan mereka? Jika kita tidak bersama-sama mereka, bermakna kita akan ke neraka? Allah. Nauzubillah.

“Sungguh, orang jahil yang punya impian mahu ke syurga seperti saya ini akan sentiasa ketakutan apabila memikirkan tentang hal ini. Sangat takut kalau tersalah langkah.

“73 golongan umat Islam. 72 golongan sesat. Hanya 1 yang terselamat. Allah. Allah. Sungguh mendebarkan,” tulis beliau.

Oleh itu, Bonda Nor mengingatkan betapa pentingnya umat Islam berdoa meminta petunjuk daripada Allah.

“Berdoalah. Kemudian, apabila Allah telah beri hidayah dan ketetapan hati, istiqamahlah. Teruslah memperjuangkan golongan yang satu ini tanpa tertoleh-toleh lagi tawaran menarik golongan yang lain.

“Sungguh, dunia ini sangat mengelirukan. Nafsulah yang sering buat kita keliru. Syaitan pula tak jemu-jemu membisikkan kecelaruan. Sebab itu, senjata kita hanyalah keyakinan kita pada janji-janji Allah.

“Usaha tertinggi kita ialah berdoa meminta hidayah dan kekuatan istiqamah. Mohon sungguh-sungguh semoga Allah kasihani kita agar tidak tenggelam dalam lautan cabaran dunia ini,” nasihatnya lagi.

Salah satu doa memohon ditetapkan iman yang boleh kita amalkan.

Tambah beliau, dalam hidup kita tidak perlu meminta banyak. Cukuplah jika Allah memelihara iman kita dan insan-insan tersayang agar dapat ‘keluar dari dunia’ ini dengan selamat.

“Kita juga telah diberi amaran bahawa dunia adalah syurga buat orang kafir dan penjara buat Mukmin. Kita tahu, kita tidak mampu mengharapkan ‘syurga’ di sini.

“Justeru, jangan biarkan nafsu kepada kesenangan dunia jadikan hidup kita celaru. Jangan sampai niat mencelarukan tindakan.

“Semisal cita-cita mahu menjadi kaya, lalu menumpuk harta agar nanti mudah bersedekah. Subhanallah. Tidakkah kita belajar daripada kisah Qarun dan sekalian banyak penderhaka yang tenggelam imannya kerana hartanya?

“Berhati-hatilah agar tidak menjadi mangsa kekayaan. Sungguh, ia tidak mudah dikendalikan,” katanya lagi.

Bonda Nor turut membawakan sirah Rasulullah SAW yang tetap memilih mahu kenyang sehari dan lapar sehari meskipun kunci kekayaan dunia ada di tangan Baginda.

“Rasulullah SAW masih mengharapkan senang dan susah hidupnya hadir silih berganti. Agar ketika susah, beroleh pahala sabar, agar ketika senang, beroleh pahala syukur. Begitu sederhana.

“Baginda tidak mengumpul harta. Rezeki Baginda mengalir setiap hari, sekadar apa yang ada di tangan, itulah yang dimanfaatkan. Tidakkah itu sudah cukup menenangkan?” ungkapnya.

Beliau juga mengingatkan umat Islam agar tidak serabutkan pemikiran dengan keinginan untuk menjadi kaya.

Umat Islam perlu mencontohi sirah Rasulullah SAW yang sentiasa bersederhana dalam kehidupan dan hanya mengharapkan redha Allah semata-mata.

“Memadai dengan berasa kaya. Kita rasa kita kaya apabila tidak perlu mengampu dan terpujuk-pujuk sesiapa. Kita rasa kita kaya apabila duit keluar masuk dengan mudah.

“Kita rasa kita kaya apabila kita boleh bersedekah pada bila-bila masa. Infak duit, ilmu atau tenaga. Kita rasa kita kaya apabila tidak dikejar hutang dan mampu selalu menolong orang,” tulisnya lagi.

Dalam pada itu, tambah Bonda Nor, 72 golongan yang sesat dan perlu sentiasa diawasi itu termasuklah golongan yang mengagungkan kekayaan atau dipanggil kapitalis.

“Ya, kita mungkin sangat menjaga akidah dan dengan jelas menjauhi fahaman syiah dan muktazilah.

“Namun berhati-hatilah agar kita juga tidak termasuk golongan Islam sekular dan liberal yang memilih-milih hukum Allah SWT mengikut nafsu. Atau golongan kapitalis yang mementingkan pengumpulan harta benda.

“Golongan seperti ini yang sangat perlu kita jauhi kerana nafsu dan logik akal kita paling mudah dipengaruhi dengan yang ini. Ya Allah, selamatkanlah kami,” katanya.

Semoga kita semua sentiasa termasuk dalam golongan yang satu ini, golongan yang terselamat dunia dan akhirat. Insya-Allah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button