Berita Semasa

6,000 bakal jemaah sudah terima tawaran haji musim ini – Mohd Na’im

SEPANG – Kira-kira 6,000 bakal jemaah sudah bersetuju menerima tawaran haji bagi musim 1446H/2025 setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, surat tawaran haji telah diedarkan secara berperingkat kepada 31,600 bakal jemaah haji bermula 16 Disember lepas dan dijangka selesai pada 15 Januari ini.

“Kalau tidak terima sampai 15 Januari ini (maka) tak adalah (tawaran). Yang telah menerima (surat) tawaran haji itu maknanya mereka dah pergi pemeriksaan (kesihatan).

“Kita akan memulakan proses rayuan selepas 15 Januari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Ketiga Pengelola Jemaah Haji (Karnival PJH), di sini hari ini.

Tambahnya, pihak Tabung Haji (TH) telah menerima kira-kira 60,000 rayuan haji bagi musim ini sejak 19 Disember lepas.

Pada masa yang sama, Mohd Na’im turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan tawaran pakej haji yang dikeluarkan individu dan syarikat pelancongan tidak berlesen.

Beliau berkata, masih ramai yang terpedaya dengan penipuan sedemikian walaupun pengurusan TH telah mengadakan pelbagai inisiatif dalam memberikan peringatan secara berkala kepada orang ramai.

“Ingin saya tegaskan di sini bahawa individu atau syarikat yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan dan lesen daripada TH boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995.

“Justeru, suka saya mengingatkan semua bakal haji untuk memastikan pakej haji ingin diambil adalah daripada 37 Pengelola Jemaah Haji telah dilesenkan oleh TH termasuk bakal haji yang mendapat visa Furada dan Mujamalah agar pemantauan dapat dilakukan bagi memastikan semua jemaah haji Malaysia mendapat perkhidmatan terbaik,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button