PTT Semicon perkukuh Malaysia sebagai hab global semikonduktor
SHAH ALAM– Majlis pecah tanah Hab Logistik PTT Semicon hari ini menjadi simbol usaha kerajaan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab global bagi industri semikonduktor.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, langkah itu sejajar dengan Rangka Kerja Ekonomi MADANI yang dilancarkan pada 2023.
“Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berusaha gigih membawa pelaburan bernilai tinggi, termasuk daripada syarikat teknologi gergasi seperti Microsoft, Google, Huawei dan Amazon,” katanya di sini hari ini.
Beliau turut berkongsi kejayaan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) yang dilancarkan pada 2024, dengan sasaran pelaburan sehingga RM500 bilion menjelang 2030.
“Malaysia kini dikenali sebagai hab global semikonduktor hasil pengalaman lebih 50 tahun dalam ekosistem industri yang matang,” katanya lagi.
Steven berkata, teknologi sahaja tidak mencukupi tanpa tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Oleh itu, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah melancarkan laporan penting pada November 2024 yang membincangkan impak kecerdasan buatan (AI), digital dan ekonomi hijau terhadap tenaga kerja negara.
“KESUMA kini dalam fasa akhir menyusun pelan tindakan untuk mencapai sasaran melatih 60,000 bakat tempatan.
“Malah, Belanjawan 2025 telah memperuntukkan RM1 bilion untuk pembangunan bakat dalam sektor kejuruteraan elektrik dan elektronik (E&E) serta AI,” jelasnya.
Tahun 2025 bakal menyaksikan peruntukan RM3 bilion digunakan sepenuhnya bagi program pembangunan kemahiran.
Steven turut berkata, dua matlamat utama memastikan 17 juta tenaga kerja negara bersedia untuk ekonomi abad ke-21 dan menyediakan pendidikan AI kepada semua lapisan masyarakat.
“Ini penting bagi memastikan masyarakat dapat memahami teknologi baharu serta membuat keputusan ekonomi, sosial dan politik yang lebih bijak,” katanya lagi.
Majlis itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk menjana peluang pekerjaan berkualiti, memperkukuhkan daya saing negara dan menarik pelaburan strategik yang mampu melonjak ekonomi Malaysia ke tahap lebih tinggi.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune