Trak rempuh orang ramai, 10 maut, 30 cedera di New Orleans
NEW ORLEANS – Malam Tahun Baharu bertukar tragedi apabila sebuah trak merempuh ratusan orang awam yang sedang meraikan sambutan di kawasan French Quarter, mengorbankan sekurang-kurangnya 10 nyawa dan mencederakan 30 yang lain.
Menurut pihak berkuasa, insiden berlaku di Jalan Bourbon apabila trak yang dipandu seorang bekas tentera negara itu memecut laju ke arah kumpulan orang ramai.
Suspek kemudian keluar dari kenderaan dan melepaskan beberapa das tembakan, menyebabkan suasana panik dan kekecohan di lokasi.
“Kami percaya ini adalah serangan yang dirancang untuk menyebabkan kematian dan kecederaan secara besar-besaran,” kata Superintendan Polis New Orleans, Anne Kirkpatrick.
Saksi di lokasi menceritakan detik cemas apabila trak tersebut muncul secara tiba-tiba dan melanggar mangsa tanpa henti.
“Kami hanya sempat melarikan diri. Orang ramai menjerit dan berlari ke pelbagai arah,” kata seorang saksi, Maria Lopez, yang berada di lokasi kejadian kepada media tempatan.
Lebih mencemaskan, pihak berkuasa turut menemui sekurang-kurangnya satu peranti letupan buatan sendiri di lokasi kejadian.
Ejen FBI New Orleans, Alethea Duncan, mengesahkan pasukan forensik telah dipanggil untuk memeriksa kawasan terbabit bagi memastikan tiada ancaman susulan.
Pihak berkuasa mengesahkan dua anggota polis cedera ditembak tetapi stabil di hospital.
Datuk Bandar New Orleans, LaToya Cantrell, menyifatkan serangan itu sebagai tindakan pengganas.
“Ini adalah ancaman terhadap keamanan komuniti kita. Kami tidak akan membiarkan kejadian seperti ini meragut kebebasan dan keamanan rakyat New Orleans,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, suasana pilu menyelubungi lokasi kejadian apabila keluarga mangsa mula berkumpul untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai nasib insan tersayang.
“Ini adalah detik hitam bagi komuniti kami,” kata seorang pegawai polis yang enggan dikenali.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune