Pesawat Jeju Air kedua alami masalah gear pendaratan
SEOUL – Sehari selepas nahas pesawat Jeju Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, sebuah lagi pesawat syarikat penerbangan itu mengalami masalah gear pendaratan.
Kejadian berlaku pada 30 Disember lalu, apabila pesawat Boeing 737-800 berdepan situasi cemas selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo (GMP), di sini.
Penerbangan Jeju Air 7C101 terpaksa berpatah semula ke GMP untuk mendarat selepas mengalami masalah gear.
Penerbangan Jeju Air 7C101 pada pagi kelmarin merupakan perkhidmatan berjadual ke dari Seoul ke pulau percutian, Jeju, di selatan negara itu.
Menurut Korea JoongAng Daily, kru penerbangan melaporkan pesawat mengalami masalah gear pendaratan sejurus selepas pelepasan dari Gimpo.
Berikutan itu, pesawat diarahkan mengekalkan ketinggian kira-kira 5,000 kaki dan berpatah semula ke GMP.
Krew penerbangan tidak mengisytiharkan kecemasan rasmi dan keputusan berpatah semula serta-merta dibuat di bawah prosedur operasi biasa.
Pesawat dengan badan kecil berusia 15 tahun milik syarikat penerbangan Jeju Air yang telah beroperasi sejak Mac 2017 itu mendarat tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Susulan kejadian itu, syarikat penerbangan menggantikan pesawat lain bagi meneruskan perjalanan berjadual ke Jeju.
Insiden di Gimpo, Seoul berlaku hanya sehari selepas nahas maut penerbangan Jeju Air 7C2216 dari Bangkok ke Lapangan Terbang Antarabangsa Muan yang mengorbankan 179 orang.
Kemalangan itu dipercayai berpunca daripada kerosakan sistem gear pendaratan pesawat berikutan serangan burung ketika mendarat.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune