Uncategorized

KPM siasat kes buli di sekolah berasrama penuh

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan sedang menyiasat dakwaan kes buli melibatkan pelajar sebuah sekolah berasrama penuh di ibu negara, baru-baru ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Fadhlina Sidek berkata, pihaknya telah menerima aduan berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil.

“Kita sudah terima aduan kes ini. Ia kini dalam proses siasatan di peringkat KPM untuk tindakan lanjut.

“Namun ita minta masyarakat faham bahawa kes buli mesti dilaporkan dan disusuli tindakan.

“Aduan boleh dibuat secara langsung ke portal aduan buli KPM supaya prosesnya lebih jelas,” katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini, hari ini.

Fadhlina turut mengingatkan pihak pengurusan sekolah, termasuk pengetua dan guru besar gar tidak merahsiakan atau melindungi sebarang insiden buli.

“Saya mahu pihak sekolah terutama pengetua dan guru pentadbir, jangan cuba menyembunyikan kejadian seperti ini.

“Kes buli perlu diselesaikan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh KPM,” tegasnya.

Beliau juga berkata, adalah hak ibu bapa untuk melaporkan sebarang insiden buli melalui saluran rasmi KPM, termasuk portal aduan khas.

“Jika anak mereka tidak mendapat keadilan, ibu bapa berhak untuk membawa aduan itu ke peringkat lebih tinggi termasuk kepada pihak berkuasa dan KPM,” katanya lagi.

Fadhlina berkata, kementeriannya memandang serius semua aduan yang diterima, sama ada daripada ibu bapa, pelajar atau pihak sekolah sendiri.

“KPM tidak akan berkompromi dalam isu buli di sekolah. Kita mahu masyarakat juga mengambil serius perkara itu dan melaporkan segera kepada KPM,” katanya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan insiden membabitkan pelajar senior sebuah sekolah di ibu negara yang didakwa mengenakan hukuman melampau terhadap pelajar junior.

Antaranya, mereka dipaksa melakukan aksi ‘commando rest’ selama dua jam dan berbogel secara beramai-ramai.

Lebih mengejutkan, seorang jurulatih di sekolah tersebut juga didakwa memaksa pelajar merendam kaki ke dalam baldi berisi air panas sehingga menyebabkan kecederaan serius.

KPM kini memberi jaminan untuk menyelesaikan isu tersebut dan memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang demi kesejahteraan pelajar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button