Berita SemasaDalam Negeri

JPJ tawar kompaun kadar rata bagi tiga kesalahan

PUTRAJAYA -Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan kompaun khas dengan kadar rata RM150 bagi tiga kesalahan selama enam bulan bermula esok, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata ia melibatkan tiga jenis notis saman JPJ iaitu Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).

“Ketiga-tiga biasanya kadar kompaunnya ialah RM300. Jadi kita memberikan satu kadar kompaun khas bermula esok 3 Jan untuk selama enam bulan supaya mereka menyelesaikan kompaun ini.

“Sebab saman AwAS ada dua juta saman yang tertunggak… dan memang ada sekatan kepada mereka yang tidak menyelesaikan saman AwAS, sekiranya mereka tidak menyelesaikan saman itu mereka tidak boleh memperbaharui lesen memandu ataupun lesen kenderaan motor mereka,” katanya memetik Bernama hari ini.

Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Pejabat Baharu JPJ di sini hari ini.

Loke berkata, pembayaran boleh dilakukan melalui pelbagai saluran antaranya di kaunter JPJ, portal awam, kios JPJ, kaunter mobile JPJ serta aplikasi myJPJ.

Pembayaran kompaun khas itu katanya tidak boleh dilakukan melalui saluran MyEG dan di Pos Malaysia.

Sementara itu, beliau berkata pengumpulan mata demerit akan dihentikan sementara mulai esok hingga 30 Jun depan.

Loke berkata dalam tempoh itu, Bahagian Penguat Kuasa JPJ akan menjalankan kajian semula terhadap kaedah pelaksanaan Sistem Mata Demerit.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button