Cybertruck meletup di hadapan Hotel Trump di Las Vegas, pemandu maut
NEVADA – Sebuah Tesla Cybertruck meletup di hadapan Hotel Trump International di Las Vegas, di sini, menyebabkan seorang maut dan tujuh cedera ringan.
Menurut Sherif Clark County, Kevin McMahill, kenderaan tersebut tiba di pekarangan hotel sekitar pukul 8:40 pagi semalam waktu tempatan.
“Tidak lama kemudian, asap mula kelihatan sebelum berlaku letupan yang memusnahkan kenderaan itu. Mangsa yang maut adalah pemandu kenderaan tersebut,” lapor New York Times.
Rakaman video yang tersebar di media sosial menunjukkan Cybertruck tersebut terbakar di depan pintu masuk hotel dengan asap kelihatan dari jauh.
Beberapa saksi melaporkan bunyi letupan kuat, diikuti dengan beberapa letupan kecil yang menyerupai bunyi mercun.
McMahill berkata, pihak berkuasa sedang menyiasat punca letupan dan tidak menolak kemungkinan ia adalah perbuatan jenayah atau tindakan keganasan.
Seorang pegawai yang terlibat dalam siasatan memberitahu ABC News bahawa terdapat bahan letupan jenis mortar bunga api dalam kenderaan tersebut.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk menentukan motif dan sama ada pemandu berniat menyebabkan letupan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk menyatakan bahawa pasukan kanan Tesla sedang menyiasat insiden berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa letupan tersebut disebabkan oleh bahan letupan yang dibawa dalam kenderaan dan bukan berpunca daripada masalah teknikal Cybertruck itu sendiri.
Menurut ABC News, Presiden Joe Biden telah dimaklumkan mengenai insiden itu dan telah mengarahkan agar bantuan FBI diberikan kepada pihak berkuasa tempatan jika diperlukan.
Setakat ini, motif sebenar insiden masih belum diketahui dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk menentukan punca dan tujuan letupan tersebut.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune