Berita SemasaJenayah & MahkamahLuar Negara

12 maut dalam amukan senjata api lelaki mabuk

MONTENEGRO – Insiden tembakan menggemparkan bandar kecil Cetinje di sini, apabila seorang lelaki melepaskan tembakan secara rambang, meragut 12 nyawa sebelum maut dengan menembak dirinya sendiri.

Kejadian dipercayai berpunca akibat pertelingkahan di sebuah restoran pada petang semalam, sebelum suspek yang dipercayai mabuk pulang ke rumahnya untuk mengambil senjata api.

Suspek, Aleksandar Aco Martinovic, 45, kemudian datang semula ke lokasi kejadian lalu melepaskan tembakan pertama yang mengorbankan empat individu.

Suspek kemudian beralih ke tiga lokasi lain, membunuh lapan lagi mangsa, termasuk dua kanak-kanak.

Menteri Dalam Negeri Montenegro, Danilo Saranovic, dalam kenyataan kepada stesen siaran RTCG berkata, insiden itu turut mencederakan empat individu lain, dengan seorang daripadanya masih dalam keadaan kritikal.

CNN melaoorkan, Martinovic yang melarikan diri ke kediamannya bertindak menembak dirinya sendiri selepas dikepung pihak polis.

“Kami percaya lelaki itu sedar dia tiada jalan keluar lalu cuba membunuh diri. Namun, dia yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital pada awal pagi Khamis,” kata Ketua Polis sementara Montenegro, Lazar Scepanovic.

Polis mengesahkan suspek berada di bawah pengaruh alkohol dan memiliki sejarah berkaitan pemilikan senjata haram.

Kejadian itu juga disahkan tiada kaitan dengan jenayah terancang.

Susulan tragedi itu, Perdana Menteri Montenegro, Milojko Spajic, mengisytiharkan tiga hari berkabung bagi memperingati dan menghormati mangsa insiden.

“Tragedi ini mengingatkan kita betapa pentingnya memperketatkan undang-undang pemilikan senjata,” katanya.

Untuk rekod, walaupun undang-undang pemilikan senjata di Montenegro agak ketat, ramai penduduk di kawasan Balkan Barat masih memiliki senjata yang kebanyakannya adalah tinggalan perang pada 1990-an.

Ia merupakan kejadian kali kedua di Cetinje dalam tempoh tiga tahun. Pada tahun 2022, seorang penembak membunuh 10 orang, sebelum ditembak mati oleh pihak berkuasa.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button