Bisnes & Ekonomi

Perkhidmatan TIN boleh diakses mulai hari ini – LHDN

CYBERJAYA – Berkuatkuasa hari ini pembayar cukai boleh mengakses perkhidmatan carian Nombor Pengenalan Cukai (TIN) menerusi portal MyTax.

Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), ia selaras dengan pengumuman oleh kerajaan melalui Belanjawan 2025 lalu yang telah menyediakan perkhidmatan carian TIN bagi tujuan yang diperuntukkan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 yang merangkumi aktiviti percukaian termasuklah bagi pelaksanaan e-Invois.

“Platform carian TIN tersebut boleh diakses mulai 1 Januari 2025 melalui Portal MyTax https://mytax.hasil.gov.my dan klik menu carian TIN.

“Pembayar cukai boleh membuat carian TIN dengan memasukkan maklumat mengikut kategori individu dengan memasukkan nombor pengenalan atau nombor passport, selain individu perlu memasukkan nombor pendaftaran perniagaan (BRN) atau nama pembayar cukai yang didaftarkan di LHDN bagi yang tidak mempunyai BRN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi memudahkan pelaksanaan e-Invois, katanya, fungsi carian TIN itu juga disediakan melalui portal MyInvois dan Application Programming Interface (API) MyInvois.

“Maklumat lanjut berhubung penetapan fungsi carian TIN melalui API boleh didapati melalui Software Development Kit (SDK) MyInvois.

“Bagi menyokong penggunaan MyDigital ID, LHDN juga menyediakan akses carian TIN di Portal MyTax dengan menggunakan pengesahan identiti MyDigital ID. Fungsi ini hanya Boleh digunakan oleh warganegara Malaysia sahaja.

“Platform carian TIN melalui Portal MyTax atau MyInvois ini hanya akan memaparkan satu TIN yang sepadan berdasarkan maklumat carian yang dimasukkan,” katanya.

Sementara itu, LHDN JUGA menasihatkan kepada pembayar cukai agar menggunakan fungsi carian TIN ini bagi tujuan yang diperuntukkan di bawah ACP 1967 sahaja.

“Mana-mana orang yang didapati melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan tindakan pendakwaan seperti mana yang dinyatakan di bawah Seksyen 66A, ACP 1967,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button