Menara Kuala Lumpur terima pengiktirafan MBOR persembahan bunga api tertinggi di Malaysia
KUALA LUMPUR – Menara Kuala Lumpur (KL Tower) mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records selepas menerima pengiktirafan “Persembahan Bunga Api pada Altitud Tertinggi di Malaysia” sempena sambutan ambang tahun 2025 di ibu negara, malam tadi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd Nazli Saad, acara bunga api berskala besar itu dilaksanakan pada ketinggian biasa 307.610 meter dari aras tanah (atau 401.610 meter dari aras laut), menjadikannya persembahan bunga api tertinggi di negara ini.
“Ini adalah satu pencapaian yang mengagumkan dan menambah daya tarik Menara Kuala Lumpur sebagai salah satu mercu tanda terkenal di Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Menara Kuala Lumpur malam tadi.
Nazli menambah, dianggarkan kira-kira 2,000 pengunjung dari serata dunia membanjiri perkarangan Menara Kuala Lumpur malam tadi untuk menyaksikan dua persembahan bunga api.
Ditanya sama ada persembahan bunga api berkenaan akan dijadikan acara tahunan, Nazli berkata, pihaknya terbuka untuk menjadikan ia sebagai pertunjukan tahunan.
“Salah satu sebab adalah Menara Kuala Lumpur ini adalah menara komunikasi tertingggi di Asia Tenggara dan ketujuh tertinggi di dunia jadi agak malang kalau kita tidak memanfaatkan perkara itu untuk menaikkan nama Malaysia.
“Sehubungan dengan itu, saya berharap menerusi inisiatif ini, pelancong dari dalam dan luar negara yang berkunjung ke Menara Kuala Lumpur akan meningkat dengan adanya acara-acara seperti ini,” ujarnya.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune