LPNM sasar peningkatan industri nanas tahun 2025
KUALA LUMPUR – Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bertekad untuk meneruskan momentum kecemerlangan industri nanas negara pada tahun 2025, selepas mencatat pencapaian memberangsangkan sepanjang tahun 2024.
Pengerusi LPNM, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, walaupun berdepan kekangan gunatanah, keluasan kawasan tanaman nanas berjaya ditambah sebanyak 1,674 hektar, menjadikan keseluruhannya 18,275.7 hektar.
“Tahun lalu juga menyaksikan pengeluaran nanas segar Malaysia mencecah 100,440 metrik tan, jauh melebihi sasaran awal iaitu 85,000 metrik tan.
Peningkatan itu didorong oleh penglibatan syarikat berskala besar dalam industri nanas,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Sheikh Umar, nilai eksport nanas Malaysia sehingga September 2024 telah mencecah RM899 juta dan dijangka melebihi RM1 bilion apabila angka akhir dikumpulkan.
“Kejayaan itu turut diterjemahkan menerusi peningkatan jumlah kontena eksport yang mencapai 1,778 kontena, berbanding hanya 800 kontena sebelum ini. Ini mencerminkan penerimaan baik terhadap kualiti nanas Malaysia di pasaran antarabangsa,” katanya lagi.
Beliau menambah, pasaran nanas Malaysia turut menembusi Perancis dan New Zealand, membuktikan keupayaan negara memenuhi piawaian ketat negara pengimport.
Kerjasama dengan Sarawak turut mencuri perhatian, apabila negeri itu komited memperluaskan kawasan tanaman nanas sehingga 20,000 hektar menjelang 2030. Pada 2024 sahaja, keluasan bertambah sebanyak 228 hektar.
Selain itu, Sheikh Umar optimis dengan potensi varieti baharu SG1 yang ditemui di Miri. “Varieti ini boleh ditanam dengan kepadatan tinggi iaitu 22,000 pokok sehektar dan dituai dalam masa sembilan bulan. Ini akan memberi lonjakan besar kepada industri nanas negara,” ujarnya.
Mengulas harapan bagi tahun baharu, beliau berkata LPNM menyasarkan pekebun nanas memperoleh pendapatan bulanan sehingga RM8,000, meningkat daripada RM5,000 yang dicatatkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).
“Konsep ‘Sekali Tanam Tiga Kali Tuai’ akan terus diperkukuh, dengan penekanan kepada tuaian buah, sulur dan sisa nanas sebagai sumber ekonomi mampan,” jelas beliau.
LPNM yakin dengan strategi yang dirancang, industri nanas akan terus menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara serta membuka peluang kepada rakyat untuk menjana pendapatan lumayan.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune