Berita Semasa

Kerajaan uji penggunaan kod QR di Terminal 1 dan 2 KLIA

PUTRAJAYA – Kerajaan akan menguji pelaksanaan kod Respons Pantas (QR) bagi rakyat Malaysia, bermula bulan ini bagi melancarkan sistem pelepasan imigresen khusus di 40 lorong khas Terminal 1 (T1) dan T2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ujian di kawasan ketibaan serta pelepasan itu adalah bagi mencari penyelesaian kepada isu kesesakan yang sering berlaku di pintu masuk negara termasuk di KLIA terutama pada waktu puncak dan musim perayaan.

“Melalui sistem kod QR ini, pengembara tidak perlu lagi mengeluarkan pasport semasa pelepasan imigresen, namun mereka diwajibkan untuk sentiasa membawa pasport sepanjang perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara kelebihan penggunaan kod QR ini adalah tempoh pelepasan imigresen hanya mengambil masa singkat iaitu antara lima hingga tujuh saat berbanding 15 hingga 25 saat menggunakan pintu automatik konvensional.

Kod QR juga katanya, dapat meningkatkan aspek keselamatan dan kecekapan perkhidmatan menerusi penggunaan teknologi terkini serta mengurangkan ketirisan.

Tambahnya, walaupun pelepasan imigresen kini dilaksanakan menggunakan kod QR, namun kemudahan kaunter manual dan sistem pagar automatik konvensional akan terus tersedia serta masih boleh digunakan seperti biasa.

Pada Disember lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dilaporkan berkata kerajaan sedang mempertimbangkan penggunaan sistem baharu berasaskan kod QR bertujuan mempercepat proses pemeriksaan di kaunter imigresen, khususnya di KLIA sebagai usaha mengurangkan kesesakan.

Sistem itu akan membolehkan pengembara mengimbas kod QR yang mengandungi maklumat peribadi dan butiran perjalanan mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button