REJAB merupakan salah satu bulan yang mulia dalam kalendar Islam.
Ia juga termasuk dalam salah satu daripada empat bulan haram yang disebut oleh Allah SWT dalam Al-Quran.
Selain itu, beberapa peristiwa telah berlaku dalam lakaran sejarah yang berkaitan dengan bulan mulia ini.
Antaranya, peristiwa Isra’ dan Mikraj, penghijrahan pertama ke Habsyah, peperangan Tabuk dan lain-lain.
Pensyarah Jabatan Usuluddin, Kolej Islam As Sofa, Ustaz Mohd Khairul Faiz Mohd Khadzali berkata, keistimewaan bulan Rejab ini telah diakui oleh nas-nas syarak dan dihuraikan oleh para ulama dalam karya-karya mereka.
Malah, dalil utamanya adalah firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 36 yang bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah pada hari Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah ketetapan agama yang lurus, maka janganlah kamu menzalimi dirimu dalam (bulan-bulan) itu; dan perangilah kaum musyrik itu semuanya sebagaimana mereka memerangi kamu semuanya; dan ketahuilah bahawa Allah bersama orang-orang yang bertakwa.”
“Berdasarkan ayat ini, dapat kita fahami bilangan bulan dalam setahun adalah 12 bulan dan ini merupakan ketetapan Allah sejak penciptaan langit dan bumi.
“Penetapan ini menunjukkan kekuasaan dan hikmah Allah dalam mengatur kehidupan manusia.
“Selain itu, para ulama tafsir termasuk Ibnu Kathir RA menjelaskan empat bulan haram yang disebut ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.
“Bulan-bulan ini dihormati dan dimuliakan dengan larangan keras terhadap peperangan dan kezaliman. Ia bertujuan untuk menjaga keamanan, terutamanya ketika umat Islam menunaikan ibadah haji,” jelas Ustaz Mohd Khairul Faiz kepada Malaysia Tribune.
Tambah beliau, Rasulullah SAW juga bersabda: “Setahun terdiri daripada dua belas bulan dan daripadanya terdapat empat bulan haram: tiga bulan berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam, serta Rejab yang berada antara Jamadil Akhir dan Syaaban.”
“Melalui hadis Riwayat Bukhari dan Muslim ini, Nabi Muhammad SAW menegaskan keutamaan bulan Rejab sebagai salah satu bulan haram yang perlu dihormati,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, umat Islam sering menjadikan bulan Rejab sebagai titik permulaan untuk menyambut bulan Ramadan.
“Rejab dianggap sebagai permulaan kepada fasa memperbanyakkan ibadah sebelum kedatangan bulan Ramadan.
“Para salafussoleh telah menjadikan Rejab bulan untuk memperbanyakkan amal soleh seperti solat sunat, puasa, beristighfar dan berzikir,” kata beliau.
Jelas Ustaz Mohd Khairul Faiz lagi, sebahagian ulama memberitahu, bulan-bulan haram termasuk Rejab adalah peluang untuk umat Islam melipatgandakan pahala.
“Jumhur ulama berpendapat, amal ibadah yang dilakukan dalam bulan haram diberi ganjaran berlipat kali ganda, manakala dosa juga menjadi lebih berat akibat kemuliaan bulan ini.
“Oleh itu, banyak amalan yang digalakkan untuk dilakukan orang Mukmin pada bulan-bulan yang dibesarkan Allah ini.
“Antaranya berpuasa sunat. Walaupun tidak ada hadis yang sahih secara khusus mengenai puasa Rejab, tetapi ulama menggalakkan puasa sunat pada hari-hari tertentu dalam bulan ini kerana kemuliaannya,” tutur beliau.
Di samping itu, amalan lain termasuklah memperbanyakkan istighfar dan berzikir.
“Imam Al-Ghazali menekankan amalan istighfar di bulan Rejab ini sebagai tanda persediaan menuju bulan Ramadan dengan membersihkan diri daripada segala dosa.
“Dan paling utama, kita juga digalakkan memperbanyakkan doa memohon kepada Allah agar dipanjangkan usia untuk bertemu bulan Ramadan,” katanya.
Antara doa yang masyhur ialah: “Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.” (Hadis Riwayat Baihaqi)
Imam Nawawi RA menjelaskan bahawa bulan haram, termasuk Rejab, merupakan bulan yang sangat sesuai untuk meningkatkan amal soleh dan menjauhi dosa.
Syeikh Yusuf al-Qaradawi pula dalam penulisannya menyebut, bulan Rejab ialah masa untuk muhasabah diri dan mempersiapkan rohani sebelum Ramadan.
“Bulan Rejab hakikatnya adalah satu anugerah Allah SWT yang wajar dihargai oleh umat Islam.
“Ia membawa peluang untuk kita memperbanyakkan amal ibadah, membersihkan hati dan mempersiapkan diri menghadapi bulan Ramadan yang mulia.
“Oleh itu, marilah kita menggunakan kesempatan waktu yang masih diberi di bulan ini untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan meraih keredhaan-Nya.
“Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang beramal soleh dan mendapatkan keberkatan di bulan Rejab ini,” ungkap beliau.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune