Berita Semasa

Sultan Selangor titah henti pertelagahan, utamakan integriti dan kemajuan

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru semua pihak termasuk pemimpin, komuniti perniagaan dan penjawat awam agar menghentikan pertelagahan yang berpunca daripada ketamakan kuasa dan kemewahan.

Baginda bertitah, perbuatan tersebut hanya membawa kepada penyebaran fitnah, adu domba dan maklumat palsu, terutamanya di media sosial.

“Beta khuatir dengan pelbagai cubaan membunuh karakter yang semakin berleluasa.

“Lazimnya, ia hanya berlaku semasa pilihan raya, namun kini ia digunakan untuk menjatuhkan individu tertentu dan merosakkan kepercayaan masyarakat,” titah baginda menerusi Perutusan Tahun Baharu 2025.

Baginda menasihatkan rakyat agar bijak menilai sesuatu maklumat sebelum mempercayai fitnah yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam perutusan sama, Tuanku turut menyeru rakyat agar bersama-sama membanteras rasuah yang disifatkan sebagai ancaman besar kepada pembangunan negara.

“Beta mahu rakyat berazam untuk membanteras gejala rasuah di semua peringkat dengan meningkatkan penguatkuasaan dan mengutamakan integriti dalam kehidupan seharian.

“Ingatlah, tamadun boleh runtuh hanya disebabkan rasuah yang berleluasa dan tidak terkawal,” tegas baginda.

Sultan Sharafuddin turut melahirkan keyakinan bahawa Malaysia mampu menjadi negara maju pada 2025 sekiranya semua pihak bersatu hati dan menghentikan sebarang bentuk perpecahan.

“Beta menyeru agar kita semua menghentikan pertelagahan yang hanya merugikan rakyat.

“Marilah kita fokus kepada usaha membangunkan negara demi kesejahteraan bersama,” titah baginda.

Baginda berharap rakyat menjadikan tahun baharu ini sebagai peluang untuk memperkukuhkan perpaduan dan memacu negara ke arah kemajuan yang lebih gemilang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button