Nahas Jeju Air: Identiti 174 daripada 179 mangsa berjaya dikenal pasti
SEOUL – Pihak berkuasa telah berjaya mengenal pasti 174 daripada 179 mangsa yang terbunuh dalam nahas pesawat Jeju Air di Lapangan Terbang Muan, kelmarin.
Proses mengenal pasti mangsa dibuat menggunakan kaedah pengenalan cap jari, namun identiti 32 lagi mangsa tidak dapat ditentukan melalui kaedah ini.
Dalam taklimat kepada keluarga mangsa, Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan memberitahu, daripada 32 mangsa yang gagal dikenal pasti melalui cap jari, 17 mangsa dikenal pasti menerusi ujian DNA pertama manakala 10 lagi dikenal pasti dalam ujian DNA kedua.
Bagaimanapun, lima mangsa masih belum dapat dikenal pasti berikutan ketidakpadanan DNA, lapor Xinhua.
Sementara itu, jasad empat mangsa yang dikenal pasti sudah diserahkan kepada keluarga masing-masing.
Pihak berkuasa sebelum ini memaklumkan bahawa proses penyerahan kesemua jasad kepada keluarga mangsa mungkin mengambil masa sehingga 10 hari memandangkan keadaan jasad yang kebanyakannya terjejas teruk.
Pesawat Boeing 737-800 milik Jeju Air itu terhempas ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, kira-kira 290km di barat daya Seoul.
Insiden dipercayai berpunca daripada kegagalan gear pendaratan, menyebabkan pesawat terpaksa melakukan pendaratan tanpa roda, lalu merempuh dinding luar landasan dan terbakar.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune