Kerajaan fokus bentuk kembali ekonomi negara jadi peneraju rantau Asia
PUTRAJAYA – Kerajaan akan memfokuskan untuk membentuk kembali ekonomi Malaysia dalam 2025 supaya menjadi peneraju di rantau Asia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagaimanapun berkata, beliau memahami tidak semua keputusan dan kebijakan kerajaan itu popular atau lekas membuahkan hasil.
“Namun, semua ini dilaksanakan dengan tekad politik yang jelas, dengan niat ikhlas serta penilaian yang teliti untuk memastikan dasar-dasar terbabit ini memberi manfaat kepada rakyat terbanyak,” katanya dalam perutusan khas sempena tahun baharu yang disiarkan secara langsung di televisyen malam ini.
Anwar berkata, kerajaan akan turut memfokuskan usaha penyasaran subsidi dan menangani kenaikan kos kenaikan sara hidup yang membelenggu rakyat.
“Usaha ini sudah dimulakan pada 2024, antaranya penyasaran subsidi diesel serta tarif elektrik yang digerakkan, bertujuan menutup ketirisan sekian lama disebabkan subsidi pukal yang disalurkan kepada pihak paling kaya serta tiga juta warga asing tidak layak.
“Pada tahun hadapan (2025), kerajaan berhasrat untuk menambah peruntukan STR dan SARA sebanyak RM3 bilion atau 30 peratus kepada RM13 bilion keseluruhannya.
“Selain menambah jumlah bantuan saban tahun, kerajaan juga giat menangani gejala fenomena kenaikan kos, kerana kos sara hidup ditangani melalui penganjuran Program Payung Rahmah di seluruh negara.
“Pasukan pemantau digerakkan dengan aktif untuk memerhati, memantau dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang mencatut harga dengan sewenang-wenangnya,” katanya lagi.
Anwar berkata, keadaan ekonomi semasa harus ditangani dengan bijak kerana ia juga membabitkan apa yang belum diduga, yang berlaku separah ini, iaitu seperti musibah banjir di beberapa negeri mutakhir ini.
Untuk itu, katanya, kerajaan sudah memberi jaminan segala usaha akan terus dijalankan di semua negeri bagi memastikan bantuan segera tiba, sementara kerja pemulihan dan bantuan secepat mungkin dapat diselenggara semua agensi pusat dengan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan atau jajahan.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune