MINGGU lalu penulis singgah di ruang parkir sebuah flat untuk mengambil seorang kawan di sekitar Sentul. Ketika itu hujan baru mula reda.
Saya keluar dari kereta dan berdiri di kaki lima menantikan sahabat dan untuk membolehkan dia dapat melihat saya dari jauh.
Kemudian melintas seorang wanita warga emas dalam usia mencecah 70-an, sebaya dengan ibu saya. Dia basah tanpa payung.
“Nak ke mana mak cik?,” tanya saya.
“Balik ke rumah depan tu jer,” katanya yang dalam perjalanan pulang dari kedai runcit tapi tanpa apa-apa ditangannya.
Matanya redup, namun masih mampu mengukir senyuman. Seolah-olah mahu berbicara seketika dengan saya.
Dalam pertemuan yang singkat itu, Mak Piah (bukanlah nama sebenar) berceritakan nasib duka hidup sebatang kara di ibu kota.
Selepas kematian suami, dia diuji dengan anak-anak yang tidak mempedulikannya. Mak Piah mempunyai dua anak lelaki namun sangat jarang menziarahinya.
Mendengar permulaan cerita itu, penulis pada mulanya mengandaikan ia hanya sebahagian daripada kisah-kisah masyarakat yang pernah didengari sebelum ini.
Namun Mak Piah tidak diuji dengan ‘kehilangan’ ahli keluarga semata-mata. Di usia senja, hati dan perasaannya bagai dirobek-robek apabila anak-anak yang dibesarkannya sendiri kini menghalaunya keluar dari rumah tinggalan arwah suami.
Lebih menyayat hati apabila Mak Piah diminta supaya keluar mengemis dan tinggal di celah-celah lorong kota, asalkan rumah flat yang tidak seberapa harganya itu dapat mereka jual.
“Mereka semua sudah berkahwin dan tinggal di tempat lain, tak jauh pun dari sini. Sekarang mereka perlukan duit dan suruh mak cik keluar dari rumah, pergi ke rumah gelandangan atau minta sedekah.
“Inilah satu-satunya harta tinggalan arwah suami,” katanya yang menyara kehidupan dengan duit pencen suaminya seorang bekas anggota polis.
Kata Mak Piah, semua harta tinggalan suaminya sudah habis diambil anaknya termasuklah simpanannya sendiri.
Sekarang, keperluan sehariannya kadang-kala dibantu oleh jiran-jiran dan dia sebolehnya mahu mempertahankan rumah yang masih didiaminya.
“Saya tak mahu keluar tapi tengoklah apa mereka (anak-anak) sanggup buat,” keluh wanita berasal dari Pahang itu.
Meskipun terluka, penulis percaya Mak Piah sebagai ibu tidak mampu untuk membenci zuriat-zuriatnya melain redha dengan takdir. Dan di sebalik pasrah wajahnya, tersembunyi harapan untuk semuanya ‘kembali’ seperti sedia kala.
Penulis kelu mendengar kisah Mak Piah. Cuba mencari logik dan rasional pada penderitaan yang dihadapinya.
Bagaimana mungkin seorang anak mampu bertindak sekejam itu terhadap ibu sendiri.
Bahkan kisah itu jauh lebih sadis daripada kisah Si Tanggang yang menjadi rujukan penderhakaan kita sejak dari kecil.
Menyedari tiada penyelesaiaan yang dapat saya hulurkan dalam masa sesingkat itu selain sekeping not kertas yang tidak seberapa, pertemuan kira-kira setengam jam itu saya anggap sekadar menjadi ruang untuk Mak Piah meluahkan perasaannya.
Dan semestinya ia adalah pengajaran dan peringatan kepada penulis sendiri.
SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune