Berita SemasaDalam Negeri

Bayi 19 hari maut, MPV dipandu ibu hilang kawalan

REMBAU – Pengorbanan dan kegigihan seorang wanita yang sanggup memandu dalam keadaan masih berpantang selepas melahirkan anak, berakhir tragedi apabila bayinya terkorban dalam satu kemalangan awal pagi semalam.

Lebih menyedihkan, bayi yang baru berusia 19 hari itu disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban selepas tujuh jam bertarung nyawa sejurus terlibat dalam nahas jalan raya di Kilometer 3.8, Jalan Kampung Batu-Inas, dekat Bukit Miku, di sini.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali, ketika kejadian pada pukul 7.50 pagi itu, bayi bernama Muhammad Adryan Qhalish Muhammad Adzril yang duduk di bahagian hadapan kenderaan mengalami pendarahan di otak sebelum meninggal dunia pada pukul 3.43 petang semalam.

Manakala kakaknya, Putri Eshal, berusia sembilan bulan yang duduk di bahagian belakang masih dalam keadaan koma dengan kecederaan serupa dan kini dirawat di hospital yang sama.

Keadaan MPV yang terlibat dalam kemalangan dan dipandu seorang wanita yang masih dalam pantang.

“Siasatan awal mendapati, ibu mangsa yang berusia 39 tahun dalam perjalanan dari arah Inas ke Sekolah Kebangsaan Kampung Batu bagi menghantar tiga lagi anak perempuannya yang lain berusia 11 tahun dan pasangan kembar berusia 10 tahun menaiki kenderaan pelbagai jenis (MPV) Perodua Alza.

“Apabila sampai di lokasi kejadian iaitu di kawasan selekoh dan cerun, pemanduan wanita tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kanan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Wanita itu hanya mengalami kecederaan di bahu, manakala tiga anaknya yang lain cedera ringan dan telah dirawat di Hospital Rembau.

Dalam pada itu, menurut sumber terdekat, wanita tersebut dan keluarganya baru berpindah ke Johol, namun anak-anaknya masih bersekolah di Kampung Batu kerana beberapa urusan yang belum selesai.

Suaminya pula bekerja sebagai pemandu lori kontena, menyebabkan dia terpaksa memikul tugas menghantar dan mengambil anak dari sekolah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button