Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh bantu penduduk terjejas insiden takungan air pecah
SUNGAI BULOH – Ahli Parlimen Sungai Buloh, R. Ramanan memberitahu pihaknya sudah menggerakkan sukarelawan bagi membantu penduduk di Taman Seri Alam yang terjejas akibat kejadian benteng takungan air yang pecah semalam.
Beliau pada masa yang sama turut menyatakan terkejut dengan kejadian yang menyebabkan banjir kilat yang telah menjejaskan lebih 50 rumah di kawasan berkenaan.
“Petang semalam, saya terkejut apabila menerima makluman berkaitan kejadian benteng takungan air yang pecah sehingga menyebabkan banjir kilat di Taman Seri Alam.
“(Berikutan itu) saya telah mengarahkan pasukan sukarelawan dari Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh untuk turun padang meninjau situasi terkini dan membantu penduduk yang memerlukan bantuan segera,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Beliau pada masa yang sama turut merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelamat termasuk pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi-agensi kerajaan yang berkaitan atas tindakan pantas.
“Pejabat saya akan sentiasa berusaha memastikan kebajikan penduduk terjaga.
“Saya juga ingin memberitahu bahawa selepas perbincangan dengan pemimpin komuniti dan agensi berkaitan, langkah-langkah susulan (akan) diambil bagi mengelakkan kejadian sebegini berulang,” katanya lagi.
Semalam, Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 5.15 petang.
Benteng berkenaan pecah menyebabkan air melimpah ke seluruh taman perumahan itu namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune