Program Baucar Buku Madani terima sambutan menggalakkan, 500,000 baucar berjaya ditebus
KUALA LUMPUR – Program Baucar Buku Madani fasa dua mendapat sambutan dan penerimaan yang tinggi dalam kalangan pelajar di negara ini selepas lebih 500,000 baucar bernilai RM100 telah ditebus.
Menurut Yayasan Perkasa Siswa (YPS) bersama MySiswaPlace, sambutan yang menggalakkan itu jelas menunjukkan keberkesanan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“60 peratus daripada penebusan baucar itu merupakan pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), 29 peratus dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), dan 10 peratus dari pelajar Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK),” katanya dalam satu kenyataan.
Dilancarkan pada 29 Oktober lalu oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, inisiatif itu bertujuan untuk menyokong keperluan akademik pelajar IPT dengan memberikan akses yang lebih mudah kepada bahan bacaan yang berkualiti.
Mengulas lanjut, YPS berkata, penebusan baucar yang dijalankan melalui platform rasmi MySiswaPlace, adalah selari dengan visi Menteri Pendidikan Tinggi untuk menyediakan pusat sehenti digital bagi memudahkan pelajar mengakses pelbagai perkhidmatan.
“Platform ini telah mencatatkan peningkatan trafik yang luar biasa sejak pelancaran program, mencerminkan sambutan dan penerimaan tinggi pelajar terhadap inisiatif ini,” katanya.
Tambah YPS, peningkatan kadar penebusan ini bukan sahaja menunjukkan tahap kesedaran tinggi pelajar tentang manfaat program ini, tetapi juga mencerminkan komitmen mereka dalam memanfaatkan inisiatif yang disediakan untuk meningkatkan kualiti pendidikan mereka.
Katanya, kejayaan ini turut disokong oleh lebih daripada 900,000 naskhah buku fizikal dan langganan e-buku yang berjaya dijual melalui platform MySiswaPlace.
“Ini melibatkan kerjasama dengan lebih daripada 300 syarikat penerbit, pengedar, dan penjual buku di seluruh negara.
“Koleksi bahan bacaan yang ditawarkan merangkumi pelbagai genre dan bidang, dari buku akademik hingga bahan rujukan profesional dan novel, yang sesuai dengan keperluan pendidikan pelajar IPT,” ujarnya.
Dengan sokongan meluas daripada komuniti penerbit dan pengedar, YPS berkata, program ini bukan sahaja menyediakan akses kepada bahan bacaan berkualiti, tetapi juga membantu memperkukuh industri penerbitan tempatan.
Jelas YPS, jumlah penjualan dijangka akan terus meningkat dengan signifikan, terutama menjelang tarikh akhir program penebusan baucar buku pada 31 Disember 2024.
“Permintaan yang tinggi daripada pelajar di seluruh negara mencerminkan keberkesanan usaha ini dalam memudahkan akses kepada bahan bacaan serta menyokong perkembangan budaya membaca dalam kalangan mahasiswa,” ujarnya.
Pelajar IPT di seluruh negara masih berpeluang untuk menebus Baucar Buku MADANI Fasa 2 melalui portal rasmi MySiswaPlace di mysiswaplace.my sehingga 31 Disember 2024.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune