Berita Semasa

Polis Sabah cari Fahmi Reza

KOTA KINABALU – Polis Sabah dilaporkan sedang mencari aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza, selepas menerima lebih 30 laporan termasuk berkaitan poster karikatur berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, Tun Musa Aman.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, susulan laporan diterima, pihaknya sudah membuka satu kertas siasatan terhadap Fahmi.

“Setakat ini, kita menerima lebih 30 laporan berkaitan individu ini (Fahmi Reza) dan kertas siasatan telah pun dibuka.

“Kita mencarinya untuk dia bertanggungjawab atas perbuatannya dan pihak polis akan memastikan siasatan ke atas kes berkenaan diteruskan,” katanya dalam satu sidang akhbar berkaitan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini hari ini.

Jauteh menambah, pihaknya percaya Fahmi masih berada di Sabah dan mungkin hadir pada perhimpunan aman dianjurkan Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) di hadapan Menara Kinabalu, petang esok.

Katanya, Fahmi dikehendaki polis untuk siasatan di bawah Akta Hasutan 1948, sambil berkata pihaknya akan mengambil tindakan jika dia hadir pada perhimpunan berkenaan.

“Polis sedang mencarinya (Fahmi) untuk siasatan di bawah Akta Hasutan 1948. Jadi yang lain jangan terpengaruh dengan provokasinya kerana kita sudah terang-terangan menyatakan bahawa polis mencarinya di bawah akta itu,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Fahmi turut dicari bagi siasatan menghina pelantikan Musa sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, melalui poster satira karikatur bekas Ketua Menteri Sabah itu yang dilukisnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button