Berita SemasaGaya HidupRencana

Malaysia di hati Stefano Romano

JURUGAMBAR kelahiran Itali, Stefano Romano pernah menganggap Malaysia sebagai rumah keduanya.

Menghabiskan masa lebih lama di negara ini berbanding mana-mana tempat lain selepas Rom, Stefano telah menjelajah Malaysia sejak pertama kali tiba ke negara ini pada tahun 2016.

Dalam tempoh itu, hubungan erat dengan budaya, masyarakat dan tradisi masyarakat tempatan telah membuatkan tanah air tercinta ini menjadi antara inspirasi dalam karya fotografinya.

Jurugambar kelahiran Rom, Itali ini mengakui Malaysia mempunyai tempat istimewa di dalam hatinya.

Perjalanan ke Malaysia

Stefano mula-mula mengunjungi Malaysia selama seminggu pada tahun 2016 untuk bercuti. Setahun kemudian pada 2017, beliau datang kembali untuk tempoh sebulan.

Namun bagi Stefano, pengalaman yang paling bermakna bermula pada tahun 2018 apabila beliau tinggal selama satu tahun setengah di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Ketika itu, beliau dilantik sebagai tenaga pengajar dan melaksanakan pelbagai projek fotografi di bawah nama USM.

Kenangan Stefano bergambar bersama para peminatnya ketika menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 di bawah Penerbit USM.

“Di Malaysia, saya dikenali sebagai Pakcik Stef, satu panggilan mesra yang jauh lebih saya sukai berbanding ‘Tuan’.

“Sebagai seorang individu yang tidak suka menonjol, gelaran ini membuatkan saya berasa lebih dekat dengan masyarakat,” kata Stefano kepada Malaysia Tribune.

Projek buku ulang tahun ke-50 USM

Semasa berada di USM, Stefano bukan sahaja mengadakan banyak siri bengkel fotografi tetapi juga menghasilkan photobook khas sempena ulang tahun ke-50 universiti tersebut.

Momen sewaktu Stefano mempersembahkan photobook khas sempena ulang tahun ke-50 USM kepada Canselornya, Tuanku Syed Sirajuddin.

Projek ini dijayakan dengan kerjasama Awatif Ahmad, yang beliau kenali sejak bertemu di Pesta Buku Frankfurt pada 2016.

Buku itu menjadi titik penting dalam kerjaya Stefano apabila dipersembahkan secara rasmi kepada Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail yang juga merupakan Canselor USM.

“Saya tidak akan melupakan detik berbicara dengan seorang Raja. Ia pengalaman yang sangat luar biasa,” ujar Stefano.

Buku My Malaysian Tales dihasilkan oleh Stefano sebagai tanda cintanya pada negara bertuah ini.

Selain photobook khas itu, Stefano turut mengabadikan kenangannya di bumi Malaysia melalui penghasilan buku bertajuk My Malaysian Tales. Buku itu memaparkan koleksi foto yang dirakam sepanjang berada di negara ini.

Falsafah dalam fotografi

Sementara itu, dalam berkongsi ilmu fotografi, Stefano sering menekankan pentingnya memahami subjek, terutama apabila berkaitan dengan budaya dan agama.

“Untuk mengambil gambar matahari terbenam, anda tidak perlu banyak kajian. Anda boleh ambil begitu sahaja. Tetapi untuk merakam acara agama, anda mesti belajar dan memahami konteksnya,” jelas beliau.

Stefano memakai baju bercorak bendera Malaysia ketika mengadakan bengkel fotografi.

Stefano juga percaya bahawa fotografi harus bersifat sederhana dan membawa kebahagiaan.

“Bagi saya, melihat foto anak kecil tersenyum atau wajah makcik kampung yang berseri-seri, sudah cukup memuaskan.”

Cabaran dan keunikan

Walaupun fotografi adalah medium yang penuh kreativiti, Stefano menyedari cabaran yang dihadapi.

“Ada orang menganggap jurugambar itu tidak sopan. Tetapi saya percaya, jika kita bersikap hormat dan mesra, pintu akan terbuka,” ucapnya.

Salah satu foto sepasang suami isteri warga emas bersantai di taman yang dirakam Stefano ketika berada di Taiping, Perak pada tahun 2018.

Malah, ketika berkongsi pengalaman mengajar wanita berusia mengenai seni fotografi, Stefano mengakui mereka sangat teruja.

“Keterujaan mereka untuk belajar membuatkan saya juga bersemangat untuk mengajar,” ungkapnya.

Nasihat untuk generasi muda

Kepada jurugambar muda, Stefano turut menasihatkan mereka agar berani dan berfikiran terbuka.

“Jangan terlalu banyak berfikir ketika mengambil gambar. Seperti kata Josef Koudelka, tinggalkan otak anda di bawah bantal. Jika anda terlalu memikirkan teknikal, anda akan kehilangan momen,” tegasnya.

Pengalaman mengajar ilmu fotografi di Malaysia membawa kenangan manis buat Stefano.

Di samping itu, Stefano juga menekankan pentingnya asas dalam fotografi, sama seperti menulis buku.

“Anda perlu belajar menggunakan alat dengan betul. Tanpa asas yang kukuh, hasilnya tidak akan memuaskan.

“Mencari cahaya melalui fotografi sangat bagus. Tetapi jangan lupa, kegelapan juga boleh dicari. Inilah antara pengajaran terbaik dalam dunia fotografi.

Gambar pemandangan Pulau Sayak di Kedah yang dirakam lensa kamera Stefano.

“Seperti eksposimeter. Melaluinya kita belajar seimbangkan antara cahaya dan kegelapan kerana tidak ada cahaya tanpa kegelapan dan tidak ada kegelapan tanpa cahaya,” ujar Stefano penuh falsafah.

Malaysia tetap di hati

Walaupun sudah lama tidak berkunjung ke negara ini, Malaysia tetap mempunyai tempat di hati Stefano.

“Malaysia bukan sekadar destinasi, tetapi sebuah rumah yang penuh dengan kenangan dan pelajaran hidup. Pulau Pinang adalah Ithaca saya, tempat yang sentiasa saya rindui,” katanya sambil mengenang pengalamannya.

Laman Instagram Stefano boleh diikuti melalui akaun @kangstefano.

Sebagai seorang jurugambar yang mencintai tradisi, warna-warni budaya dan keramahan rakyat Malaysia, Stefano Romano terus mengukir namanya dalam dunia fotografi antarabangsa dengan karya yang memaparkan keindahan manusia dan kehidupan seharian.

Sehingga kini, beliau banyak membuat siri pameran di negara kelahirannya. Kebanyakan karya seni Stefano melalui foto-foto yang dibidik bersifat manusiawi.

Stefano bersama koleksi foto bersifat manusiawi yang dibidik dalam satu pameran di Bangladesh.

Untuk melayari koleksi gambar atau buku tulisan Stefano, boleh ikuti beliau di laman web soccamacha.blogspot.com atau Instagram @kangstefanoromano.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button