75 kes pelanggaran direkodkan sepanjang pelaksanaan SHMMP Krismas
PUTRAJAYA – Sebanyak 75 kes pelanggaran direkodkan sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas dari 23 hingga 27 Disember lalu.
Menurut Ketua Pengarah Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam, sebanyak 74 kes direkodkan melibatkan kegagalan mempamerkan tanda harga khas merah jambu, manakala satu kes lagi melibatkan tiada tanda harga pada produk melibatkan nilai kompaun sebanyak RM8,600.
Tambahnya, sepanjang pelaksanaan skim berkenaan, sebanyak 2,748 pemeriksaan dijalankan ke atas premis perniagaan di seluruh negara merangkumi premis runcit, borong dan pengeluar.
“Tiada kes melibatkan penjualan melebihi harga yang ditetapkan dikesan sepanjang tempoh tersebut.
“Kementerian tidak menerima sebarang aduan semasa pelaksanaan SHMMP Krismas 2024.
“Majoriti peniaga yang diperiksa komited serta mematuhi perundangan harga maksimum yang berkuat kuasa sepanjang pelaksanaan skim ini,” katanya dalam satu kenyataan hari, ini.
Sepanjang pelaksanaan SHMMP Krismas 2024 selama lima hari itu, sebanyak 14 jenis barangan disenaraikan sebagai barang kawalan, dengan sembilan jenis produk di Semenanjung dan tambahan empat barangan di Sabah dan Labuan serta tambahan lima barangan di Sarawak.
Antaranya, ayam tua hidup (di Sarawak sahaja), kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), lobak merah, tomato, cili merah, lada benggala hijau, bawang merah besar import, bawang kuning besar, ubi kentang import China dan babi hidup (peringkat ladang sahaja).
Mengulas lanjut, Azman berkata, berdasarkan pemantauan dan penguatkuasaan KPDN serta maklum balas orang ramai, pelaksanaan SHMMP Krismas 2024 berjalan dengan baik dan lancar.
“KPDN juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta agensi di bawahnya, pihak industri dan keseluruhan peniaga atas komitmen serta kerjasama dalam menjayakan pelaksanaan skim ini,” katanya lagi.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune