Wisma Putra sahkan tiada rakyat Malaysia terbabit nahas Jeju Air
PUTRAJAYA – Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam nahas pesawat Jeju Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan, hari ini.
Perkara itu disahkan Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini.
“Pejabat Kedutaan Malaysia di Seoul mengesahkan tiada rakyat Malaysia menaiki pesawat Jeju Air Penerbangan 7C2216.
“Malaysia merakamkan perasaan simpati dan ucapan takziah kepada mangsa serta keluarga yang terjejas dalam kejadian itu, dan juga kepada rakyat dan Kerajaan Korea,” katanya dalam kenyataan itu.
Terdahulu, sebuah pesawat yang membawa 181 orang, terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, menurut laporan agensi berita Yonhap, hari ini.
Difahamkan, pesawat itu membawa 175 penumpang bersama enam anak kapal dan setakat ini, 85 mangsa disahkan maut, manakala baki yang sebelum ini dilaporkan parah pula dianggap sudah meninggal dunia.
Nahas dilaporkan berlaku ketika pesawat Jeju Air yang sedang dalam penerbangan dari Thailand itu mendarat di lapangan terbang terbabit.
Laporan awal mendapati dua individu ditemui masih hidup ketika misi menyelamat dijalankan.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune