PAS kecam kenyataan Kor Ming, akan ambil tindakan undang-undang
KUALA LUMPUR – PAS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berhubung kenyataannya yang didakwa melabel PAS sebagai ‘sesat’, ‘menyebar ajaran sesat’, dan ‘menunggang agama’.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu membantah kenyataan Kor Ming yang disifatkan sebagai melampau dan terlalu beremosi.
“Sejak selepas kemerdekaan, tidak pernah berlaku kementerian atau agensi kerajaan menganjurkan program keagamaan selain Islam secara terbuka di premis kerajaan, apatah lagi melibatkan pegawai Islam
“Kenyataan tersebut turut menuduh PAS ‘menyekat sambutan Krismas’ serta ‘merosakkan keharmonian masyarakat’,” tegasnya dalam satu kenyataan media di Facebook hari ini.
Semalam, Kor Ming menempelak PAS atas sikap hipokrit parti itu berhubung sambutan Hari Krismas yang diadakan di pejabat KPKT di Putrajaya, baru-baru ini.
Beliau dilaporkan berkata, parti itu dilihat tidak konsisten dalam pendiriannya apabila memberi kenyataan bercanggah berkaitan perayaan berkenaan.
Menurut Takiyuddin, Kor Ming gagal mengawal emosi dalam mengeluarkan kenyataan berhubung
teguran Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Hanif Jamaluddin yang mempertikai penglibatan umat Islam dalam acara sambutan Krismas anjuran KPKT.
Menurut PAS, teguran yang dibuat Hanif adalah berdasarkan garis panduan agama dan wajar ditangani secara cermat oleh kementerian.
PAS juga menuduh Kor Ming mencampuri urusan agama Islam dan mencabar kuasa pihak berkuasa agama serta kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja sebagai ketua agama Islam.
Parti itu turut menyifatkan kenyataan Nga sebagai tidak bertanggungjawab dan berisiko menimbulkan ketegangan antara kaum serta agama di negara ini.
“PAS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri berkenaan atas tohmahan dan fitnah jahat ini,” ujar Takiyuddin.
Beliau menegaskan bahawa sikap sambil lewa dalam isu melibatkan agama hanya akan memberi kesan buruk terhadap hubungan antara kaum dan agama di Malaysia.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune