Dua askar didakwa rogol kanak-kanak 10 tahun
KOTA BHARU – Dua anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dalam kejadian yang didakwa berlaku pada April tahun lalu.
Tertuduh, Mahadi Ismail, 39, dan Aizat Hakim Mohammad, 20, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin, menurut laporan Berita Harian.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka secara berasingan didakwa melakukan jenayah itu terhadap mangsa, yang ketika itu berusia 10 tahun lapan bulan, di sebuah rumah di Bachok pada April tahun lepas.
Kes itu dikemukakan di bawah Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara minimum 10 tahun sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli, memohon mahkamah agar tidak membenarkan jaminan atas alasan mangsa masih di bawah umur dan kes ini melibatkan kanak-kanak.
Bagaimanapun, peguam pembelaan, Mohd Firdaus Zainal Abidin, merayu supaya jaminan dibenarkan, dengan alasan kedua-dua tertuduh telah memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan menyerah diri kepada polis.
“Salah seorang anak guam saya akan mencapai usia persaraan wajib tahun depan dan bertanggungjawab menyara empat orang anak yang masih bersekolah. Sementara itu, seorang lagi baru selesai menjalani latihan dan akan memulakan tugasnya esok,” jelasnya.
Tertuduh turut diwakili oleh peguam Majidah Muhamad.
Setelah mendengar hujah daripada kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan syarat mereka perlu melapor diri di balai polis terdekat pada setiap bulan dan tidak dibenarkan mengganggu saksi.
Hakim menetapkan 2 Februari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk tindakan lanjut.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune