Tangisan di hati suami jarang diketahui isteri – Cikgu Fadli
PERKONGSIAN pempengaruh yang juga bekas guru, Cikgu Mohd Fadli Salleh mengenai pengorbanan seorang suami mengundang sebak dalam kalangan netizen.
Melalui satu hantaran di Facebook, beliau menulis bahawa tanggungjawab seorang lelaki yang bergelar suami dan ayah tidak nampak di mata, namun ia ada.
“Terpikul di bahu setiap suami, setiap insan bergelar ayah itu satu tanggungjawab yang sangat besar.
“Ia berat. Sangat. Namun dia tidak mengeluh. Bukan dia tak menangis. Cuma semua tangisan itu dia telan. Hilang diselindung senyuman. Kesedihan disorok rapi tanpa siapa perasan. Kekecewaan disimpan tanpa siapa dapat kesan.
“Orang mengata. Orang menghina. Bahkan kadang saudara mara dan saudara terdekat pun turut serta menoreh luka.
“Lebih pedih, isteri sendiri pun tidak memahami. Tidak mengerti,” tulis beliau.
Tambahnya lagi, wanita sering membanding-bandingkan suami mereka dengan suami orang.
“Dikata dia malas dan tidak berusaha mengubah kehidupan. Dan dia hanya berdiam. Tidak mahu membalas untuk mengelak perbalahan.
“Buat para isteri, cukup-cukuplah perkecilkan suami sendiri. Usah dibanding lagi dengan orang lain. Setiap orang, lain jalan cerita. Berbeza tanggungjawab dan perjalanan hidup mereka.
“Sokonglah suamimu. Hormati dia dengan penghormatan yang selayaknya dia terima.
“Hari ini mungkin dia belum berjaya. Namun dia tetap mencuba,” jelas beliau lagi.
Menurut Cikgu Fadli, alam maya ini dikuasai oleh kaum wanita. Jika ada silap daripada lelaki, berganding bahu mereka menghentam.
“Tanpa sedar, ramai yang memperlekehkan suami sendiri. Memandang rendah dan membuka aib diri.
“Baik buruk pun dia, dia masih suami kita. Dia masih ayah kepada anak-anaknya. Dan dia sebenarnya memendam sejuta rasa. Yang tidak ternampak di mata.
“Sesungguhnya tiada suami yang tak mahu membahagiakan anak dan isterinya. Cuma rezeki belum tiba. Cuma jalan kejayaan itu masih samar dalam rahsia-Nya,” katanya.
Dalam pada itu, Cikgu Fadli berharap para wanita yang bergelar isteri akan terus setia di samping suami tercinta.
“Terus berdiri di sisinya dengan tabah, sabar dan setia. Suatu masa, suatu ketika akan bersinar mentari bahagia,” ungkapnya.
“Begitulah kehidupan yang sementara. Terima kasih kepada yang cuba memahami peranan seorang anak lelaki, suami dan ayah,” komen Azri Azman.
“Rindu arwah ayah. Hero pertama dan terakhir dalam hati saya,” tulis Nor Laila Jaafar pula.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune