Serangan Israel di lapangan terbang Sana’a nyaris ragut Ketua Pengarah WHO
SANAA – Serangan udara Israel ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Sana’a semalam nyaris meragut nyawa delegasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) termasuk Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus yang sedang menunggu pelepasan di lapangan terbang berkenaan.
Tedros dalam satu hantaran di platform X berkata, beliau hanya berada beberapa meter sahaja dari letupan yang memusnahkan menara kawalan, infrastruktur dan sebahagian landasan lapangan terbang itu.
Katanya, serangan itu menyebabkan salah seorang kakitangan pesawat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) cedera.
“Semasa kami bersiap untuk menaiki penerbangan dari Sana’a, lapangan terbang diserang secara udara. Seorang kru pesawat kami cedera.
“Menara kawalan trafik udara yang hancur diserang terletak hanya beberapa meter dari tempat kami berada,” katanya.
Tedros berkata, beliau kini berada di Jordan bersama rakan sekerja yang cedera untuk menerima rawatan di Amman.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada Israel yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan.
Menurut agensi berita Saba yang dikendalikan Houthi, tiga individu terkorban dalam serangan itu.
Turut dilaporkan dalam serangan berasingan di bandar pelabuhan utama Hodeidah, tiga dilaporkan maut dengan 40 yang lain cedera.
Menurut kenyataan tentera Israel sebelum ini, lapangan terbang, stesen janakuasa dan pelabuhan di Yaman dipercayai digunakan oleh Houthi untuk menyeludup senjata dari Iran selain menjadi pintu masuk pegawai kanan Iran.
Kumpulan Houthi sebelum ini kerap melancarkan dron dan peluru berpandu ke arah Israel sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin di Gaza.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune