Berita Semasa

Polis buru pemandu lori terlibat kejadian langgar lari

KULAI – Polis sedang memburu pemandu sebuah lori dipercayai terlibat dalam satu kemalangan langgar lari yang mengorbankan seorang penunggang motosikal di kilometer (KM) 29.3 Lebuhraya Linkedua (Arah Tol Senai Utara), semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan berkenaan sekitar pukul 4.30 petang.

“Siasatan awal polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Honda RS150R yang ditunggang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun cuba mengelak lori yang berada di lorong kanan.

“Tindakannya itu telah menyebabkannya hilang kawalan hingga melanggar besi pembahagi jalan di bahagian kanan.

“Akibatnya, penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi sementara pemandu lori terbabit pula dilaporkan melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di talian 017-7573507 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button