Pergaduhan di stesen LRT, beberapa individu lagi akan ditahan
Polis sahkan sudah tahan lapan disyaki terlibat
KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan beberapa lagi individu akan ditahan susulan kes pergaduhan membabitkan kumpulan penyokong bola sepak di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, setakat ini lapan individu telah ditahan menerusi video pergaduhan yang menjadi tular di media sosial.
“Kita sedang melengkapkan siasatan dan akan menjejaki beberapa individu lain. Berdasarkan rakaman yang jelas, Insya-Allah kita akan buat tangkapan. Jika terdapat gambar yang tidak dapat dikenal pasti, kita akan keluarkan kenyataan media untuk meminta bantuan orang ramai.
“Arahan saya jelas, tangkap semua yang terlibat dalam insiden ini, terutamanya mereka yang mencetuskan pergaduhan. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Sokongan Lelaki/Wanita Siri 1/2024, di sini hari ini.
Video rakaman yang menjadi tular sejak 21 Disember lalu itu memaparkan pergaduhan melibatkan antara 20 hingga 30 individu di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, laluan Ampang-Sri Petaling.
Susulan kejadian, beberapa infrastruktur LRT turut dilaporkan rosak akibat tindakan beberapa individu yang menendang pintu tren serta membaling tong sampah.
Dalam pada itu, Datuk Rusdi turut berkata, polis akan mempertingkat kawalan keselamatan di beberapa lokasi ‘hotspot’ di sekitar ibu negara sebagai persiapan sambutan Tahun Baharu.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune