Kedai emas dipercayai rugi ribuan ringgit dalam rompakan
MELAKA – Sebuah kedai emas di sebuah pusat beli-belah terkenal di Banda Hilir di sini dipercayai mengalami kerugian ribuan ringgit setelah dirompak dua lelaki bersenjata, petang semalam.
Kejadian tersebut yang berjaya dirakam kamera litar tertutp menunjukkan, dua lelaki bertopeng memasuki premis tersebut pada kira-kira pukul 3.30 petang.
Berdasarkan video berdurasi 1 minit itu, terdapat dua pekerja wanita kedai emas terbabit dan suspek kelihatan cuba menghampiri mereka.
Suspek dipercayai menunjukkan senjata yang disembunyikan di dalam jaket untuk menakut-nakutkan pekerja dan meminta mereka menyerahkan barang kemas yang dipamerkan di kaunter, namun kedua-dua pekerja hanya mampu mundar-mandir dalam ketakutan.
Selang beberapa saat, seorang daripada suspek mencapai barang kemas berkenaan dari luar kaunter sebelum melompat memasuki kaunter untuk melarikan lebih banyak barang kemas.
Pekerja yang ketakutan hanya mampu mengelak daripada dicederakan sebelum kedua-dua suspek lari meninggalkan premis berkenaan.
Setakat ini, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai kejadian berkenaan.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, ketika dihubungi mengesahkan kejadian namun menegaskan kes masih dalam siasatan.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune