‘Jangan bermain di kawasan titik buta’ – JPJ
KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyenaraikan ‘titik buta’ sebagai salah satu daripada lima punca kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan berat.
Empat lagi punca kemalangan adalah tukar lorong, kondisi pemandu tidak sihat, hujan lebat dan tidak periksa kenderaan.
JPJ turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati dengan kewujudan titik buta tersebut bagi mengelak risiko terbabit kemalangan.
“Jangan bermain di kawasan ‘hilang pandangan’ (titik buta). Pastikan pemandu kenderaan berat sedar kehadiran anda.
“Kenderaan lain harus menjaga jarak kenderaan sejauh tiga saat ketika berada di belakang (kenderaan berat) dan elakkan berada di lokasi titik buta,” katanya.
Bagi pemandu kenderaan berat pula, mereka diingatkan supaya memastikan tiada kenderaan lain di lokasi ‘titik buta’ dan sentiasa memberi isyarat sebelum menukar lorong atau ingin membelok.
Pemandu juga diingatkan supaya mengelak daripada memandu ketika sedang mengantuk dan memastikan tidak mengambil sebarang alkohol atau dadah sebelum atau semasa memandu.
“Rasa letih, jangan memandu… kesihatan anda adalah kunci kepada perjalanan yang selamat. Tiada apa lebih penting daripada nyawa,” katanya.
JPJ turut mengingatkan mengenai kepentingan menjaga jarak dengan kenderaan berat di jalan raya.
“Jarak itu penting…. beri ruang untuk kenderaan berat, mereka perlukan lebih masa untuk berhenti atau memotong,” katanya.
Hujan lebat juga menjadi antara punca kemalangan membabitkan kenderaan berat berikutan ia dapat menghalang pemandangan pemandu.
“Jalan basah, bahaya meningkat. Nyala lampu, kurangkan kelajuan dan pandu dengan berhati-hati,” demikian saranan diberikan.
Mengenai aspek keselamatan kenderaan, JPJ mengingatkan supaya memeriksa kenderaan terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan.
“Pemandu kenderaan berat, pastikan kenderaan anda selamat sebelum perjalanan bermula. Pemeriksaan kecil, impak besar,” katanya.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune