Berita Semasa

Dr Haim Hilman dakwa kenyataannya mengenai kemasukan ke IPTA diambil luar konteks

ALOR SETAR – Bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Haim Hilman Abdullah mendakwa, kenyataannya mengenai kemasukan pelajar ke universiti awam baru-baru ini telah diambil di luar konteks.

Menurut Haim Hilman, kenyataan dikeluarkan itu bertujuan memperjuangkan nasib pelajar miskin yang tidak dapat mengikuti program kompetitif antaranya kejuruteraan, perakaunan dan perundangan disebabkan faktor tertentu.

Jelasnya, beliau tidak menolak kemasukan pelajar dari keluarga berkemampuan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melalui saluran komersial, namun perlu ada penambahbaikan daripada pihak berkaitan.

“Seperti dinyatakan Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR UA) semalam (Rabu), terdapat dua laluan untuk ke IPTA iaitu melalui saluran perdana yang mengambil sebahagian besar pelajar B40 dan saluran komersial yang mengambil pelajar dalam kalangan keluarga T20 serta antarabangsa.

“Perkara yang saya bangkitkan adalah melalui saluran perdana, ramai dalam kalangan anak-anak keluarga miskin yang tidak dapat mengikuti program kompetitif walaupun Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) melepasi syarat minimum kerana terdapat ‘cut off’ CGPA ditetapkan,” katanya kepada portal Sinar Online, semalam.

Menurutnya, ia berbeza dengan saluran komersial apabila pelajar terlibat diterima masuk ke program kompetitif bukan kerana merit sebaliknya memadai dengan CGPA minimum.

“Asalkan mereka membayar penuh yuran pengajian berkaitan. Inilah yang saya persoalkan iaitu sebahagian tempat belajar yang sepatutnya dipenuhkan berdasarkan merit, telah diperuntukkan untuk pelajar saluran komersial ini,” jelasnya.

Haim Hilman yang juga Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah berkata, sebagai contoh terdapat universiti yang menetapkan cut off CGPA 3.95 atau 4.00 untuk mengikuti program kritikal termasuk perubatan menyebabkan pelajar miskin yang memperoleh CGPA antara 3.90 hingga 3.94, tidak mendapat tempat walaupun CGPA minimum untuk mengikuti program tersebut cuma 3.5 saja.

Beliau juga tidak bermaksud mahu menentang saluran komersial sebaliknya menuntut supaya kerajaan mencari jalan ke arah penambahbaikan agar pelajar yang hadir dari saluran tersebut turut mendapat manfaat setimpal dengan pembayaran dilakukan.

“Saya bersetuju dibentuk saluran komersial jika IPTA membangunkan kampus khas untuk fakulti berkaitan. Dalam erti kata lain, segalanya diuruskan seperti sebuah universiti swasta dan di sinilah anak-anak syarikat universiti berkenaan sepatutnya memainkan peranan,” tambahnya.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR UA) membuat satu sidang akhbar bagi menjawab dakwaan Haim Hilman berkenaan kenyataan yang dikeluarkan beliau ketika satu ceramah yang menjadi tular di media sosial.

Jawatankuasa tersebut berkata, dakwaan Haim Hilman dibuat dengan niat untuk mengelirukan masyarakat serta menimbulkan kontroversi yang tidak berasas, dan sebagai bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), beliau sepatutnya lebih memahami sistem kemasukan pelajar yang telah lama wujud.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button