Berita SemasaDalam Negeri

Prof Kamil bakal tunai umrah meskipun hidap kanser paru-paru tahap 4

SHAH ALAM – Penulis buku prolifik dan pendakwah terkenal, Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim bakal mengerjakan ibadah umrah sekali lagi meskipun dirinya disahkan menghidap kanser paru-paru Tahap 4.

Melalui status di laman Facebook pagi tadi, beliau memaklumkan akan berangkat ke Tanah Suci pada 30 Januari hingga 10 Februari 2025.

“Saya menolak untuk ikut serta walaupun berbulan merancang untuk pergi. Namun ia satu-satu ibadat disebut orang sebagai jemputan Allah SWT,” tulis Prof Kamil.

Tangkap layar status Facebook Prof Kamil mengenai ibadah umrah yang akan dilaksanakan pada hujung bulan depan.

Tambah beliau, dirinya akan mempunyai doktor khas bagi memantau keadaan kesihatannya sepanjang di Tanah Suci kelak.

“Dua doktor pakar bersedia untuk pergi. Seorang dibiayai sepenuhnya dan seorang lagi membayar sendiri kerana mahu ikut bersama saya.

“Hanya beberapa perkara kecil belum tersedia. Saya sedang mencari opsyen untuk menyediakan portable oxygen concentrator yang mencapai piawai penerbangan.

“Mahal tetapi masih dalam kemampuan kami. Terima kasih puan CtNv Mohd yang begitu menyayangi saya dan Roza. Moga ia diperkenankan,” menurutnya.

Sekitar tiga minggu lalu, Prof Kamil disahkan menghidap kanser paru-paru tahap 4 ketika dirawat di Hospital Al Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam.

Doktor mengesahkan penyakitnya itu bermula dari dalam paru-paru dan sudah merebak ke selaput luar.

Malah, jika tidak melakukan apa-apa rawatan, jangka hayat beliau berada dalam had beberapa minggu hingga beberapa bulan sahaja.

Gambar terkini Prof Kamil semalam yang dikunjungi sahabat seperjuangan ketika mereka sama-sama menuntut di Universiti of Wales Bangor di peringkat PhD.

Bagaimanapun, Prof Kamil dan isterinya, Raudzah Roslan atau mesra dipanggil Roza tetap tenang dan redha berdepan ujian tersebut.

“Proses seterusnya hanya untuk mengawal dan bukan menyembuhkan. Namun ajal maut ketentuan Allah SWT. Kita redha sepenuhnya,” ungkap beliau ketika itu.

Sehingga artikel ini ditulis, status tersebut telah menerima 1,300 reaksi, 135 komen dan 11 perkongsian.

“Alhamdulillah, orang baik ramai yang sayang. Orang yang sentiasa muliakan agama, Allah muliakannya di hati makhluk. Semoga Allah permudahkan segala urusan Dr Muhd Kamil Ibrahim,” komen Siti Norbaya Johan.

“Allah menyayangi hamba yang bertakwa dan memberikan manfaat buat seluruh umat Nabi SAW. Semoga Allah permudahkan urusan Prof,” tulis Norwati Md Zain pula.

Untuk rekod, Prof Kamil dan keluarganya pernah menetap di bumi Madinah selama tiga tahun bermula 2011.

Ketika itu beliau mendapat tawaran mengajar bidang perakaunan di Universiti Taibah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button