PGA gagalkan penyeludupan petrol, diesel di sempadan Thailand
RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya merampas 360 liter minyak diesel yang cuba diseludup ke Thailand dalam serbuan di pengkalan haram Keri di sini, semalam.
Rampasan dilakukan oleh sepasukan anggota BN 9 PGA pada pukul 9.30 pagi semasa rondaan Op Taring Wawasan Kelantan.
PGA Briged Tenggara dalam kenyataan di Facebook berkata, hasil pemeriksaan menemukan sekurang-kurangnya 360 liter minyak diesel yang cuba diseludup ke Thailand.
“Anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM 1,082 dan kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Hasil rampasan diserahkan ke KPDN Kelantan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, dalam satu lagi serbuan pengkalan haram di Kampung Kedap di sini, PGA merampas 90 liter minyak petrol yang dipercayai cuba diseludup ke Thailand.
Rampasan dilakukan oleh sepasukan anggota BN 9 PGA pada pukul 8 pagi selepas rondaan menemukan beberapa buah tong di kawasan pengkalan haram.
“Hasil pemeriksaan mendapati tong itu mengandungi lebih 90 liter minyak petrol dan dipercayai untuk diseludup ke Thailand.
“Anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM 196.80 dan kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. Hasil rampasan diserahkan ke KPDN Kelantan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
PGA berkata, pihak berkuasa akan meneruskan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan negara.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune