Majlis Daerah Tangkak arah Pesta Lampu LED dihenti serta-merta
TANGKAK – Penganjuran Pesta Lampu LED yang mempamerkan replika roket dengan bendera negara China yang mencetuskan kontroversi sebelum ini dihentikan serta merta.
Majlis Daerah Tangkak (MDT) dalam satu kenyataan berkata, notis arahan pemberhentian operasi festival di pekarangan Dewan Serbaguna Bukit Gambir itu telah dikeluarkan kepada penganjur.
Selain itu katanya, binaan replika roket dengan bendera China yang dibina juga telah diturunkan kelmarin oleh MDT selepas mendapat aduan orang ramai.
“Siasatan segera dijalankan oleh pihak MDT di tapak dan mendapati penganjur tidak mematuhi syarat-syarat penganjuran karnival khususnya tidak menjaga sensitiviti masyarakat.
“Tindakan menurunkan struktur yang dimaksudkan dibuat dan satu notis arahan pemberhentian operasi serta-merta dikeluarkan oleh pihak MDT kepada penganjur semalam, selaras dengan seksyen 14(1) (b) dan 49(2) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (Majlis Daerah Tangkak) 2017 kerana perlanggaran syarat itu,” katanya.
Menurut MDT, selepas arahan dikeluarkan oleh pihaknya, pemantauan mendapati tiada lagi sebarang aktiviti dan karnival diadakan di tapak acara.
Sebelum ini polis membuka kertas siasatan berhubung video dan gambar tular yang memaparkan binaan replika roket dengan bendera China yang dibina sempena Pesta Lampu LED di sini.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune