Kor Ming pertahan sambutan Krismas KPKT, tegaskan prinsip hormat menghormati
IPOH – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menjelaskan kebanyakan petugas yang terlibat dalam sambutan Krismas di kementeriannya baru-baru ini adalah dalam kalangan penganut Kristian, khususnya yang berketurunan Kadazan dari Sabah dan Sarawak.
Jelas Kor Ming, sambutan Krismas tersebut mencerminkan semangat kepelbagaian dan muhibah yang sentiasa diterapkan oleh Kerajaan Madani, selari dengan keharmonian, perpaduan serta kestabilan masyarakat yang menjadi elemen utama dalam kejayaan negara.
“Video yang tular menunjukkan petugas KPKT menyanyikan lagu Krismas, dan ini menggambarkan semangat hormat-menghormati antara petugas kami. Ini adalah prinsip asas dalam pentadbiran yang baik,” ujarnya selepas merasmikan Program Sentuhan KPKT 2024 di Ipoh hari ini.
Terdahulu, Pemuda Pas menyifatkan tindakan Kor Ming yang menganjurkan sambutan Krismas di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai tidak wajar.
Dakwa Ketua Penerangannya, Khairul Nadzir Helmi Azhar, penganjuran tersebut bertentangan dengan prinsip sensitiviti agama yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan serta melanggar batas-batas akidah umat Islam.
Kor Ming menambah, pihaknya menghormati semua agama, termasuk Islam yang diraikan semasa Hari Raya Aidilfitri, begitu juga dengan perayaan Krismas yang diraikan oleh penganut Kristian.
“Hormat dan ihsan adalah dua prinsip utama yang menjadi tunjang dalam pentadbiran kami,” tambah Kor Ming yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune