![](https://i0.wp.com/malaysiatribune.news/wp-content/uploads/2024/12/IMG_20241227_182745.jpg?resize=720%2C405&ssl=1)
Kerajaan tidak akan benarkan kenaikan tarif elektrik jejaskan rakyat – PM
PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak akan membenarkan kenaikan tarif elektrik yang boleh menjejaskan rakyat.
Perdana Menteri berkata, kenaikan kadar itu tidak seharusnya diletakkan kepada majoriti rakyat, sebaliknya kepada golongan maha kaya atau industri yang mencatatkan keuntungan luar biasa.
“Mengenai pengumuman Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung kenaikan elektrik, tadi saya dah hubungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri yang bertanggungjawab untuk minta TNB memberi penjelasan.
“Kita tidak benarkan kenaikan elektrik yang menjejaskan orang ramai. Kenaikan seperti mana yang dahulu itu hanya membabitkan golongan atasan yang saya sebut maha kaya ataupun industri yang mencatat keuntungan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Masjid Al-Hana, Langkawi di Kedah, hari ini.
Menurut TNB kepada Bursa Malaysia semalam, tarif asas elektrik di Semenanjung Malaysia akan dinaikkan sebanyak 14.2 peratus kepada 45.62 sen setiap kilowatt-jam (kWh), bersama dengan jadual tarif baharu bermula Julai 2025.
Perubahan itu akan berlaku di bawah Tempoh Peraturan 4 (RP4) selama tiga tahun yang akan berkuat kuasa dari Januari 2025 hingga Disember 2027.
Bagaimanapun, untuk enam bulan pertama RP4 sehingga Jun 2025, tiada perubahan dalam kadar tarif elektrik dan struktur tarif.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan memahami dengan peningkatan kos yang terpaksa ditanggung TNB, namun ia tidak sepatutnya menjejaskan kedudukan majoriti rakyat.
“Saya faham keperluan naik, tapi kenaikan tidak boleh membabitkan atau (meletakkan) kedudukan kos kepada majoriti rakyat,” katanya.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune