ZAKAT merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang lima, menjadikannya kewajipan yang tidak boleh dipandang ringan oleh umat Islam.
Ketua Jabatan Syariah Islamiyyah Kolej Islam As Sofa, Ustaz Amirulhakim Ahmad Nadzri berkata, zakat adalah ibadah yang berkaitan dengan harta.
“Disebabkan itulah, zakat memainkan peranan besar dalam membina kesejahteraan ummah dan mengukuhkan hubungan sosial sesama manusia.
“Banyak firman Allah SWT di dalam Al-Quran yang memerintahkan kewajipan berzakat terhadap umat Islam.
“Jadi, perintah itu tidak boleh diabaikan begitu sahaja oleh golongan yang berkemampuan,” jelas Ustaz Amirulhakim kepada Malaysia Tribune.
Beliau turut membawakan surah Al-Baqarah, ayat 43 yang bermaksud: “Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, dan rukuklah bersama orang-orang yang rukuk.”
Ujarnya, ayat ini menunjukkan bahawa zakat tidak boleh dipisahkan daripada amalan dalam agama seperti solat.
“Kewajipan ini dikuatkuasakan bagi setiap Muslim yang memenuhi syarat-syarat tertentu, seperti mencapai nisab dan haul bagi jenis zakat harta.
“Malah Rasulullah SAW juga sentiasa mengingatkan umatnya untuk menunaikan kewajipan berzakat demi kesejahteraan umat Islam seluruhnya,” kata Ustaz Amirulhakim lagi.
Dalam satu hadis Riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Islam dibina atas lima perkara; syahadah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan haji ke Baitullah.”
“Justeru itu, kegagalan menunaikan zakat bukan sahaja dianggap berdosa besar, tetapi juga membawa ancaman balasan yang berat, sebagaimana yang disebut dalam al-Quran dan hadis,” ungkapnya.
Menurut Ustaz Amirulhakim lagi, berzakat bukan sekadar kewajipan agama, tetapi juga merupakan alat dalam membentuk masyarakat yang adil dan sejahtera.
“Melalui amalan berzakat, ia mendidik umat Islam agar memahami konsep keadilan sosial dan keprihatinan terhadap golongan yang kurang bernasib baik.
“Lantaran itu, setiap Muslim wajib mengambil berat tentang tanggungjawab ini dan memastikan zakat ditunaikan mengikut syariat.
“Semoga kita semua sentiasa istiqamah dalam melaksanakan perintah Allah SWT, termasuklah kewajipan berzakat demi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat,” kata Ustaz Amirulhakim menutup bicara.
Kepentingan Berzakat
1. Membersihkan harta dan jiwa
Zakat membersihkan harta daripada sifat tamak dan kedekut. Dalam surah At-Taubah, ayat 103 Allah SWT berfirman: “Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka.”
Ini menunjukkan zakat berfungsi sebagai penyucian harta dan jiwa, melatih hati agar sentiasa bersyukur dan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.
2. Mengukuhkan tali persaudaraan
Zakat mewujudkan rasa kasih sayang dan persaudaraan antara golongan kaya dan miskin.
Dengan berkongsi sebahagian harta, jurang ekonomi dapat dirapatkan, mengurangkan perasaan iri hati dan mewujudkan keharmonian sosial.
3. Membangunkan ekonomi ummah
Dana zakat yang dikumpulkan boleh digunakan untuk pelbagai tujuan seperti pembangunan infrastruktur, pendidikan dan bantuan perniagaan kecil.
Ia membantu golongan fakir dan miskin untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.
4. Memperoleh keberkatan harta
Berzakat membuka pintu keberkatan. Rasulullah SAW bersabda: “Harta tidak akan berkurang dengan sedekah dan Allah tidak akan menambah kepada seorang hamba sifat pemaaf kecuali kemuliaan.” – Hadis Riwayat Muslim
Bagi mereka yang mahu berzakat menjelang akhir tahun 2024 ini, boleh hubungi amil Yayasan Sofa yang berdaftar dengan Lembaga Zakat Selangor. Sebahagian daripada jumlah bayaran zakat itu akan disalurkan bagi tujuan pembangunan di pelbagai institusi tahfiz kendalian Yayasan Sofa.
Malah, setiap bayaran zakat juga, layak mendapat rebat cukai LHDN [Seksyen 6A (3) 1967]. Untuk maklumat lanjut, hubungi hotline Zakat As Sofa di talian 016-7450508.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune